;
Selasa, 13 March 2018 | 7:55pm

IJM peroleh kontrak LRT3 RM1.12 bilion

KUALA LUMPUR: IJM Corp Bhd menerusi anak syarikatnya IJM Construction Sdn Bhd, memperoleh kontrak pakej Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) bawah tanah bernilai RM1.12 bilion.

Pakej yang membabitkan laluan bawah tanah dari Bandar Utama ke Johan Setia, Klang itu diperoleh daripada Prasarana Malaysia Bhd.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, IJM Corp berkata projek itu membabitkan reka bentuk, pembinaan dan penyiapan terowong, stesen dan bangunan sokongan bawah tanah serta kerja-kerja berkaitan lain.

Projek itu akan mengambil masa 31 bulan untuk disiapkan dan dijangka menyumbang secara positif kepada keuntungan syarikat dari tahun kewangan 2019 hingga 2021, kata IJM Corp.

Secara umumnya, projek LRT3 dibangunkan di bawah Rancangan Pembangunan Rel Bandar oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Ia adalah sebahagian daripada Rancangan Induk Pengangkutan Awam Darat yang bertujuan untuk mewujudkan sistem pengangkutan awam yang memuaskan, cekap, bersepadu dan mampan.

Rancangan itu dijangka berupaya menaikkan taraf sosio-ekonomi di Malaysia dan meningkatkan mutu kehidupan rakyat.

Jarak keseluruhan LRT3 adalah 36 kilometer dan akan merentasi 25 stesen sepanjang laluannya.

Pembinaan LRT3 akan bermula pada 2016, setelah kelulusan daripada pelbagai pihak berkepentingan diperoleh. LRT3 dijangka akan siap pada tahun 2020.

1263 dibaca
Berita Harian X