Selasa, 13 March 2018 | 4:56pm
PENGASAS dan Pengerusi Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Hong Piow diiktiraf Tokoh Perbankan Tersohor

KUALA LUMPUR: Pengasas dan Pengerusi Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow dianugerahkan "Tokoh Perbankan Terhebat Malaysia Di Sepanjang Zaman" oleh yayasan penjenamaan terkemuka dunia, Asia Pacific Brands Foundation (APBF).

Anugerah itu disampaikan Presiden BrandLaureate, Dr KK Johan pada Majlis Makan Malam Seminar Pengurusan Public Bank yang diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines, yang dihadiri lebih 4,000 orang kakitangan kumpulan perbankan itu.

Dalam ucapannya, Johan berkata, sejak 50 tahun lalu, tiada tokoh perbankan, selain Hong Piow, yang telah membangunkan bank untuk berjaya mencapai pulangan yang mengagumkan; pertumbuhan yang positif setiap tahun dan bagi 2017, telah mencapai keuntungan bersih sehingga RM5.47 bilion melalui pertumbuhan organik dan langkah strategik.

Beliau berkata, kepintaran Hong Piow yang tiada tandingannya serta pengetahuan beliau yang mengagumkan mengenai industri perbankan meletakkan beliau di hadapan pesaingnya.

"Tanpa Hong Piow dan Public Bank, saya berani katakan bahawa industri perbankan di Malaysia dan ekonomi negara tidak akan berada pada tahapnya pada hari ini.

"Beliau telah memperincikan kepimpinan perbankan dan prinsip serta falsafah yang dipegangnya menjadi standard bagi amalan perbankan yang baik, yang diteladani dan dihormati oleh mereka yang setara dengan beliau," kata Johan.

"APBF mencipta trofi khas untuk diberikan kepada anda (Hong Piow) malam ini - trofi yang melambangkan kepentingan anda (Hong Piow) dalam industri ini sebagai tokoh perbankan tersohor dan trofi yang direka dengan rapi dan teliti tidak seperti trofi lain sebelumnya.

"Trofi yang hanya layak untuk Tokoh Perbankan Tersohor. Tiada sesiapapun yang pernah menerimanya sebelum ini dan hanya layak diberi kepada Pengasas dan Pengerusi Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow. Anugerah ini hanya untuk yang terhebat dan terbaik," katanya.

Dalam ucapan tahniah bagi anugerah terbaharu yang diterima Hong Piow itu, Pengarah Urusan Public Bank, Tan Sri Tay Ah Lek, berkata, bagi pihak Lembaga Pengarah, pengurusan dan kakitangan Kumpulan Public Bank, beliau merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Pengasas dan Pengerusi Public Bank itu di atas penganugerahan 'Tokoh Perbankan Malaysia Tersohor Sepanjang Zaman' BrandLaureate.

Beliau berkata, Hong Piow adalah contoh pemimpin ideal yang harapan serta impiannya terhadap Public Bank tidak mengenal sempadan.

Katanya, kepimpinan Pengerusi Public Bank yang menjadi teladan sebagai 'Tokoh Perbankan Malaysia Tersohor Sepanjang Zaman' bukan saja membawa kumpulan perbankan ketiga terbesar di Malaysia, dari segi aset itu, maju ke hadapan dalam landskap kewangan di Malaysia tetapi juga menyebabkan ia meraih penghormatan di peringkat antarabangsa.

"Hong Piow mempunyai kecerdikan daripada segi konteksnya yang sebenar, kemampuan untuk memahami aspirasi semasa dan memanfaatkan peluang yang ada untuk membina organisasi yang berjaya.

"Inilah sifat yang telah membolehkan Public Bank untuk mendapatkan pulangan yang mengagumkan dan yang memberi nilai yang ketara kepada pihak yang berkepentingan dengan bank sejak dulu lagi," katanya.

"Rasa belas ihsan terhadap kakitangannya dan kecemerlangan dalam kesemua usahanya menyebabkan Hong Piow amat dihormati dan disayangi oleh kami. Tan Sri Pengerusi, anda adalah sumber inspirasi bukan saja kepada keluarga Public Bank tetapi juga generasi ahli perbankan."

Anugerah itu adalah yang ke-45 yang diterima oleh Hong Piow secara peribadi sebagai pengiktirafan bagi komitmen beliau terhadap kecemerlangan dan dedikasinya kepada industri perbankan.

320 dibaca
Berita Harian X