Rabu, 14 Februari 2018 | 4:58pm

I-VCAP isytihar agihan pendapatan tiga dana ETF

KUALA LUMPUR: i-VCAP Management Sdn Bhd (i-VCAP) mengisytiharkan agihan pendapatan sebanyak RM8.75 juta untuk dana dagangan bursa (ETF) di bawah siri dana patuh syariah MyETF bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017.

i-VCAP dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, agihan pendapatan itu adalah untuk MyETF Pasaran Islam Dow Jones Malaysia Titans 25 (MyETF-DJIM25), MyETF MSCI-Dividen Islam Malaysia (MyETF-MMID) dan MyETF MSCI Dividen Islam SEA(MyETFMSEAD).

"Bagi ETF-ETF berdasarkan tempatan seperti MyETF-DJIM25 dan MyETF-MMID, pemegang unit, masing-masing akan menerima 2.39 sen dan 2.81 sen seunit," katanya.

Pengurus dana itu menambah, pemegang unit MyETF-MSEAD, yang memberikan pendedahan kepada lima pasaran akan menerima 1.51 sen seunit.

Katanya, tarikh kelayakan bagi agihan pendapatan ini ialah 5 Mac 2018 manakala pembayaran akan dibuat kepada pemegang unit pada 29 Mac depan.

i-VACP berkata, agihan pendapatan tersebut, sebahagian besarnya diperoleh daripada pendapatan dividen melalui pemegangan ekuitinya.

Ketua Pegawai Eksekutif, Khairi Shahrin Arief Baki, berkata pada tahun ini, syarikat merancang untuk menjalankan lebih banyak aktiviti bagi meningkatkan kesedaran dan minat terhadap ETF di kalangan pelabur institusi dan runcit termasuk mempromosikan siri-siri MyETF yang patuh Syariah keluaran syarikatnya.

"Melihat kepada perubahan landskap pelaburan, yang memperkenalkan banyak peluang pelaburan menarik serta inovatif dan pembangunan dalam ruang digital sejak beberapa tahun lalu, kami juga sedang mencari pendekatan baharu bagi menarik pelabur.

"Kami berharap untuk mengukuhkan pembabitan dalam pendigitalan, sama ada melalui platform sosial atau 'Robo-Advisory', bagi menarik bukan saja pelabur berpengalaman, malah juga pelabur milenial dalam mempertimbangkan ETF sebagai pilihan," katanya.

-BERNAMA

87 dibaca
Berita Harian X