Isnin, 12 Februari 2018 | 11:03pm

PROTON tangani masalah dihadapi pengedar

KUALA LUMPUR: PROTON Holdings Bhd (PROTON), menegaskan syarikat automotif tempatan itu sentiasa mengutamakan inisiatif yang diambil dalam menangani penyusutan jualan dan penurunan penguasaan pasaran di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Menerima rakan strategik asing (FSP) adalah langkah penting bagi memastikan PROTON mencatatkan pemulihan untuk kembali menjadi peneraju pasaran automotif Malaysia, dan mengembangkan jenama itu di dalam dan luar negara.

Dalam satu kenyataan hari ini, PROTON berkata, antara langkah yang diambil untuk menambah baik prestasi syarikat automotif itu termasuk menaik taraf rangkaian pengedarnya serta memperkenalkan model baharu pada masa akan datang.

"Menaik taraf terhadap rangkaian pengedar adalah sejajar dengan langkah yang diambil syarikat automotif lain di negara ini, yang mana majoriti pengedar mereka melakukan jualan menerusi cawangan 3S/4S," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PROTON berkata, disebabkan kekurangan cawangan 3S/4S, Indeks Kepuasan Jualan (SSI) dan Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI) kurang memberangsangkan berbanding jenama automotif lain.

"Menerusi rancangan untuk meningkatkan jumlah cawangan, kami menjangkakan pencapaian SSI dan CSI akan meningkat sekali gus memberi impak positif terhadap jualan.

"Pengedar disaran untuk menaik taraf cawangan masing-masing dalam tempoh 2018 hingga 2020," katanya ketika mengulas kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) baru-baru ini.

Sebelum ini, PEKEMA menyatakan PROTON sudah beralih daripada objektif utamanya dan kepentingan agenda Bumiputera adalah bukan keutamaan pengurusan baharu PROTON.

Katanya, keperluan PROTOn untuk menaik taraf Pusat 1S yang kebanyakannya dimiliki Bumiputera untuk di naik taraf ke Pusat 3S adalah membebankan kerana ramai Bumiputera tidak mempunyai kapasiti untuk melaksanakan langkah itu.

PROTON berkata, mengenal pasti masalah itu, syarikat automotif berkenaan memperkenalkan skim khas yang menawarkan bantuan pendahuluan bagi membantu pengedar untuk menaik taraf cawangan masing-masing.

"Selain itu, pengedar akan menikmati lebihan margin jualan kenderaan sehingga tiga tahun," katanya.

Merujuk kepada isu persaingan yang tidak adil antara pengedar, PROTON berkata, margin baharu dan skim insentif baharu yang ditetapkan PROTON bertujuan untuk mencegah pemasaran tidak adil antara pengedar.

614 dibaca
Berita Harian X