;
Jumaat, 9 Februari 2018 | 5:36pm

Malaysia Airlines dijangka kembali untung 2019

PETALING JAYA: Malaysia Airlines Bhd dijangka kembali mencatatkan keuntungan pada suku pertama 2019, kata Ketua Eksekutifnya, Izham Ismail.

"Tinjauan pasaran bagi syarikat penerbangan bagi 2018 adalah sukar. Namun, kami sedang memperlihatkan kemajuan dan mula mendapat cengkaman. Sasaran dalaman kami adalah untuk mencatatkan keuntungan tahun ini.

"Pasukan tahu aspirasi saya dan meminta mereka supaya sama-sama berusaha tahun ini, namun suku pertama 2019 (untuk mula mencatatkan keuntungan) adalah lebih realistik," katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis memeterai Perjanjian Kerjasama Latihan antara Malaysia Airlines Academy Bhd dan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) di sini, hari ini.

Malaysia Airlines Academy adalah unit latihan milik Malaysia Aviation Group (MAG).

Di bawah pelan penyusunan semula Malaysia Airlines yang bermula tiga tahun lalu, usaha memastikan syarikat penerbangan nasional itu kembali mencatatkan keuntungan adalah antara matlamat program pemulihannya.

Malaysia Airlines disasar kembali untung selepas ia dikeluarkan daripada syarikat senaraian awam, sebelum kemudian dirancang disenaraikan semula apabila keuntungan dicatatkan.

Mengenai pertambahan aktiviti pengambilan pekerja Malaysia Airlines kebelakangan ini, Izham yang juga Ketua Pegawai Eksekutif MAG berkata, proses itu adalah bagi mengimbangi kadar pemberhentian keseluruhan kumpulan yang tinggi sebelum ini iaitu 16 peratus.

Beliau berkata, permohonan daripada 6,000 pekerja yang berhenti sebelum ini akan diberikan keutamaan yang lebih tinggi, jika kemahiran mereka diperlukan.

"Jika individu terbabit diberhentikan sebelum September 2015 dan memiliki kemahiran yang relevan maka kami akan mempelawa mereka semula untuk memohon kekosongan tenaga kerja yang diperlukan, namun mereka ini perlu melalui proses yang sama seperti individu lain," katanya.

"Kami tetap berpegang teguh untuk mengekalkan sejumlah 14,000 pekerja bagi kumpulan, yang mana 12,500 adalah bagi Malaysia Airlines.

"Kira-kira 95 peratus daripada 6,000 pekerja yang meninggalkan syarikat penerbangan ini sudah memulakan kerjaya baharu di tempat yang lebih baik, manakala kurang daripada lima peratus masih dilatih oleh Pusat Pembangunan Korporat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Izham berkata Malaysia Airlines mengambil berat mengenai arahan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang meminta syarikat supaya menyelesaikan masalah susun atur tempat duduk dan tandas di kelas perniagaan pesawat Airbus A350-900WXB.

Ia berikutan rungutan penumpang mengenai tempat duduk yang tidak selesa dan tandas tidak mencukupi di kelas perniagaan terbabit.

Dalam majlis hari ini, Malaysia Airlines Academy dan IATA menjalin usaha sama dalam usaha mengukuhkan kedudukan sebagai hab pembelajaran penerbangan serantau.

Melalui kerjasama itu, Akademi MAB akan menawarkan 10 kursus IATA yang berkaitan dengan industri penerbangan dan bersesuaian dengan keperluan dan undang-undang di peringkat serantau.

Mengulas kerjasama itu, Izham berkata ia tidak mengandungi sebarang perkongsian keuntungan dan sebaliknya berbentuk kontrak perkongsian pengetahuan yang boleh diperbaharui.

271 dibaca
Berita Harian X