Khamis, 11 Januari 2018 | 2:39pm
Pengarah Urusan Kumpulan LBS, Tan Sri Lim Hock San (kiri), Pengarah Eksekutif LBS, Datuk Alan Chia (kiri), Pengarah Eksekutif LBS, Datuk Seri Daniel Lim (kiri ketiga), Pengarah Eksekutif LBS, Datuk Cynthia Lim (kanan ketiga) , Pengarah Eksekutif MGB dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Isaac LIM (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif MGB, Datuk Richard Lim (kanan kedua) semasa lawatan unit penginapan Residensi Bukit Bintang Jalil di Bukit Jalil. - Foto Sairien Nafis

LBS lancar Residensi Bintang Bukit Jalil

KUALA LUMPUR: LBS Bina Group Bhd (LBS), pemaju perbandaran melancarkan pembangunan terbaharu dan pertama tahun ini, Residensi Bintang Bukit Jalil membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM954.7 juta.

Projek itu merangkumi dua menara kondominium yang terletak di lokasi strategik di pusat kemudahan pendidikan, sukan, hiburan dan rekreasi yang sedia ada dan akan dibina pada masa depan.

Pengarah Urusan Kumpulan LBS, Tan Sri Lim Hock San, berkata perbandaran Bukit Jalil adalah lokasi strategik untuk keluarga dan pembeli kediaman generasi muda.

"Sekolah Antarabangsa Tzu Chi yang bakal siap dan kemudahan rekreasi sedia ada di kawasan ini melengkapkan penawaran Residensi Bintang Bukit Jalil.

"Saya yakin kemudahan yang ditawarkan dapat memenuhi keperluan pembeli rumah moden masa kini dan akan diterjemahkan kepada kadar pengambilan yang positif," katanya pada pelancaran projek berkenaan di Bukit Jalil, dekat sini, hari ini.

Residensi Bintang Bukit Jalil terletak di kawasan seluas 2.21 hektar dengan menara utaranya merangkumi 47 tingkat dan menara selatan 50 tingkat.

Jumlah keseluruhan unit yang dibangunkan berjumlah 1,342 unit dengan tawaran harga menarik bermula daripada RM553,000.

Setiap unit direka bentuk secara strategik dan bertujuan memenuhi keperluan aspek tempat kerja serta rekreasi komunitinya.

Pembangunan ini menawarkan kepada pembeli kediaman tiga susun atur yang unik bermula dari keluasan 805 kaki persegi hingga 1,209 kaki persegi (Menara Utara).

Unit Jenis A1 masing-masing memiliki dua bilik tidur dan bilik mandi, sementara Jenis B dan C dilengkapi dengan tiga bilik tidur mewah dan dua bilik mandi.

Jenis C menawarkan unit lebih besar selain dilengkapi dengan laman dan bilik utiliti.

525 dibaca
Berita Harian X