Selasa, 28 November 2017 | 8:23pm

MRCB, Gamuda tubuh konsortium jadi PDP

KUALA LUMPUR: Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB) dan Gamuda Bhd memeterai perjanjian menubuhkan konsortium tidak diperbadankan pada asas 50:50 untuk terbabit dalam tender menjadi Rakan Pelaksana Projek (PDP) projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

Dalam satu makluman berasingan kepada Bursa Malaysia, kedua-dua syarikat berkata, apabila mendapat tender itu, mereka akan menandatangani perjanjian muktamad bagi menetapkan hak dan pematuhan setiap pihak berkaitan projek berkenaan.

Kedua-dua syarikat akan membuat pengumuman perlu kepada Bursa Securities jika ada perkembangan penting berkaitan projek itu.

MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp) baru-baru ini membuka tender bagi melantik PDP untuk projek HSR.

PDP akan bertanggungjawab membangunkan reka bentuk terperinci bagi kerja infrastruktur merangkumi stesen dan struktur penjajaran termasuk jambatan, terowong dan tambak di Malaysia.

Selain itu, PDP juga akan membina kerja terbabit pada anggaran dan tepat pada masanya.

Tender PDP dan Aset Syarikat akan datang (AssetsCo) adalah dua pemerolehan utama dalam projek HSR.

237 dibaca
Berita Harian X