;
Rabu, 15 November 2017 | 8:42pm
Laman Twitter rasminya, @MRTMalaysia.

Taklimat tender MRT3 dapat sambutan hangat

KUALA LUMPUR: Taklimat mengenai tender kontraktor tunggal atau 'turnkey' bagi projek laluan Tren Aliran Transit Massa 3 (MRT3) menerima sambutan hangat apabila dihadiri lebih 200 syarikat dari dalam dan luar negara, pagi tadi.

Perkara itu dikongsikan oleh Mass Rapid Transit Corporation Bhd (MRT Corp) menerusi laman Twitter rasminya, @MRTMalaysia.

MRT Corp pada 6 November lalu menyiarkan notis tender berkaitan MRT3, yang mana antaranya menyatakan ia akan mengguna pakai struktur kontraktor tunggal dalam melaksanakan projek itu.

Dokumen tender itu mula dijual sejurus tamat taklimat dan sehingga 29 November ini.

Dokumen berkenaan pula perlu diserahkan kepada Jabatan Perolehan selewat-lewatnya sebelum jam 12 tengah hari, 29 Disember ini.

Pengumuman mengenai syarikat yang berjaya mendapat tender projek MRT3 dijangka diumumkan pada pertengahan Februari, tahun depan.

Dalam pertemuan dengan media pada Isnin lalu, Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Seri Shahril Mokhtar, berkata struktur kontraktor tunggal diguna pakai untuk projek MRT3 kerana dikenal pasti berupaya menjimatkan wang kerajaan sehingga berbilion ringgit.

Menerusi struktur itu, kontraktor yang dipilih perlu menguruskan semua pelaksanaan projek MRT3 yang merangkumi kejuruteraan, pembinaan, pemerolehan, teknikal, sistem dan pembiayaan.

Sebelum ini, katanya, untuk laluan MRT1 dan 2, kerajaan melantik rakan pelaksana projek (PDP) bagi memantau perkembangan kerja projek yang membabitkan laluan bertingkat sahaja.

"Bagi laluan bawah tanah untuk MRT1 dan 2, PDP tidak dilantik tetapi MRT Corp yang bertanggungjawab memantau kerja projek, termasuk penyampaian, kualiti dan keselamatan.

"Dalam projek MRT 3, sebanyak 80 peratus atau 30 kilometer (km) daripada 40km jajaran laluannya ialah bawah tanah, maka tidak perlu PDP kerana MRT Corp sendiri layak dan berkebolehan untuk memantau segala perkembangan projek.

"Bagi kerja membabitkan sistem, kami yakin sudah mempunyai pengalaman dan pengetahuan secukupnya bagi memastikan MRT Corp mampu memantau perkembangan kerja dibuat dengan baik.

"Malah, pendekatan baharu ini membolehkan kami mendapatkan pilihan terbaik dari segi pembiayaan projek yang mana syarikat pasti mahukan kos paling rendah, terutama dari segi kadar faedah.

"Ini sekali gus menjimatkan wang kerajaan," katanya.

1082 dibaca
Berita Harian X