Jumaat, 13 Oktober 2017 | 9:20am
Samsung Electronics Co Ltd berkata keuntungan operasi suku kewangan ketiga berkemungkinan meningkat tiga kali ganda. - Foto Reuters

Samsung Electronics unjur untung meningkat

SEOUL: Samsung Electronics Co Ltd berkata keuntungan operasi suku kewangan ketiga berkemungkinan meningkat tiga kali ganda berbanding setahun lalu ke rekod tertinggi baharu, mengatasi anggaran penganalisis berikutan margin keuntungan tinggi dalam segmen cip memori.

Pesaing Apple Inc itu berkata, keuntungan operasi suku ketiga dianggarkan berjumlah 14.5 trilion won (AS$12.81 bilion), berbanding 14.3 trilion won anggaran purata 20 penganalisis yang dikaji selidik Thomson Reuters.

Pendapatan syarikat dijangka meningkat 29.7 peratus daripada setahun lalu kepada 62 trilion won, berbanding anggaran purata penganalisis 62.1 trilion won.

Saham Samsung didagangkan pada rekod tertinggi baharu 2.74 juta won setakat Khamis, berikutan pelabur membuat pertaruhan ke atas rekod pendapatan pada 2017 dipacu peningkatan permintaan bagi cip memori dengan kuasa memproses lebih pantas.

Jualan telefon pintar Galaxy Note 8, yang dilancarkan pertengahan September, turut membantu melonjakkan keuntungan segmen mudah alih berikutan ia pulih daripada penarikan Note 7 sebelum ini, kata penganalisis.

Samsung tidak memperincikan prestasi sukuan Julai-September dan akan mendedahkannya pada akhir Oktober.

Penganalisis menjangka segmen perniagaan cip syarikat itu akan mencatat rekod keuntungan.

Permintaan kukuh global bagi cip DRAM akan terus mengatasi bekalan pada 2018 berikutan kilang baharu Samsung dan kilang pengeluar cip kedua terbesar SK Hynix hanya akan beroperasi pada 2019, manakala permintaan 'flash cip' NAND mengatasi bekalan untuk enam suku berturut-turut setakat bulan lalu, demikian menurut data DRAMeXchange, bahagian penyedia data TrendForce. - Reuters

154 dibaca
Berita Harian X