Rabu, 13 September 2017 | 11:15am
MALAYSIA Airlines Bhd bersetuju membeli pesawat Boeing 787-9 Dreamliner dan 737 Max susulan syarikat penerbangan meninjau peluang menambah perkhidmatannya. - Foto Twitter Malaysia Airlines

Malaysia Airlines, Boeing meterai MoU beli 16 pesawat

KUALA LUMPUR: Boeing dan Malaysia Airlines Bhd hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi cadangan pembelian 16 pesawat jenis 787 Dreamliner dan 737 MAX.

Menurut kenyataan Malaysia Airlines pagi ini, ia membabitkan cadangan pembelian lapan unit pesawat Boeing jenis 787-9 Dreamliner dengan menukar lapan tempahan Boeing 737 MAX sedia ada Malaysia Airlines dan lapan hak pembelian tambahan pesawat jenis 737 MAX 8.

Selain itu, MoU itu turut menggariskan membabitkan penawaran perkhidmatan penyelenggaraan Global Fleet Care yang ditawarkan Boeing untuk pesawat sedia ada dan akan datang milik Malaysia Airlines.

Sejurus dimuktamadkan, urus niaga itu akan dimasukkan ke dalam laman web Tempahan dan Penghantaran Boeing.

Majlis pemeteraian diadakan di St Regis Hotel, Washington DC, Amerika Syarikat, hari ini.

Pemeteraian MoU itu disaksikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan wakil Malaysia Airlines serta Boeing.

Sementara itu, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines, Peter Bellew, berkata pihaknya berbangga memeterai MoU itu, selain ia memantapkan lagi kerjasama lebih 40 tahun antara Malaysia Airlines dengan Boeing.

"Pesawat badan lebar baharu itu adalah penting dalam menjadikan Malaysia Airlines sebuah syarikat penerbangan premium, sekali lagi menawarkan perkhidmatan lima bintang.

"Pesawat 787-9 memberikan keupayaan kepada kami untuk beroperasi ke mana-mana destinasi di Eropah dan beberapa destinasi di Amerika Syarikat (AS) dari Kuala Lumpur pada masa depan.

"MoU dengan Boeing berhubung program Global Fleet Care pula akan membolehkan kedua-dua syarikat membangunkan pusat baik pulih dan penyelenggaraan (MRO) bertaraf dunia bagi 737 MAX, 787 dan 737NG yang akan berpangkalan di kemudahan sedia ada di Kuala Lumpur," katanya.

Malaysia Airlines ketika ini mengendalikan lebih 50 unit pesawat Boeing jenis 737 Generasi Akan Datang dan tambahan 25 unit 737 MAX yang sudah ditempah, termasuk 10 unit bagi 737 MAX 10 baharu.

968 dibaca
Berita Harian X