Selasa, 12 September 2017 | 9:42pm
Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Tan Sri Ranjit Ajit Singh ketika berucap di Majlis Peringatan Ulang Tahun ke 50 Institut Akauntan Malaysia (MIA) di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Persiaran Bukit Kiara, semalam. - Foto BERNAMA

Pasaran modal Malaysia berjaya tingkat keyakinan

KUALA LUMPUR: Pasaran modal Malaysia berjaya membina kepercayaan dan keyakinan berdasarkan skala dana yang digerakkan dalam perniagaan serta simpanan oleh para pelabur, kata Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Tan Sri Ranjit Ajit Singh.

Beliau berkata, peluang untuk pelabur merealisasikan pulangan dalam pasaran modal masih elemen utama dalam prestasi pasaran.

"Pelabur yang menganggap diri mereka kurang bernasib baik, akan mengurangkan pendedahan, dan apabila penyertaan pelabur dalam pasaran menyusut, ia akan memberi kesan dan menurunkan kredibiliti yang menyebabkan kos modal yang lebih tinggi.

"Ia membabitkan kepercayaan dan keyakinan bagaimana sesebuah pasaran beroperasi. Fakta bahawa kita dipercayai dan diyakini, membolehkan kita mengumpul dana," katanya pada siri Kuliah Peringatan ke-50 MIA.

Ranjit berkata, saiz pasaran modal Malaysia hari ini kira-kira RM3.1 trilion, tiga kali Keluaran Dalam Negara Kasar, menyaksikan tahap pengumpulan dana yang sihat sepanjang lima tahun lepas, dengan purata RM116 bilion dikumpul setiap tahun.

Ini membolehkan pasaran modal memainkan peranan aktif dalam menyokong aktiviti perniagaan dan ekonomi sebenar, termasuk pembangunan infrastruktur, katanya.

Ranjit juga berkata, penjimatan tabungan meningkat dengan ketara dengan industri pengurusan dana yang kukuh di Malaysia sejak bertahun-tahun dengan aset dalam pengurusan sebanyak RM750 bilion pada separuh pertama 2017.

Ini adalah antara segmen pasaran paling pesat berkembang, meningkat 15.8 peratus setahun sejak 10 tahun lepas daripada RM161 bilion.

Industri unit amanah juga mengalami peningkatan ketara nilai aset bersih, daripada RM122 bilion pada 2006 kepada RM409 bilion pada akhir Jun 2017, dengan pengurus dana swasta ini, serta pelabur institusi awam, menyumbang aset lebih daripada RM1.3 trilion, katanya.

Beliau berkata SC menyedari bahawa kepercayaan dan keyakinan akan terus menjadi antara teras, dan permintaannya bagi infrastruktur pasaran yang teguh dan rangka kerja pengawalseliaan yang membolehkan urus niaga berjalan dengan adil, teratur dan telus, dengan para pelabur dilindungi.

Sementara itu, Presiden Institut Akauntan Malaysia Salihin Abang berkata pasaran modal dibangunkan atas kepercayaan, didorong oleh maklumat kewangan yang tepat dan boleh dipercayai yang bergantung kepada amalan akauntan profesional.

Akauntan dan profesional kewangan adalah tonggak penting dalam organisasi dan peneraju yang memelihara integriti pelaporan kewangan yang penting bagi pelabur untuk membuat keputusan yang tepat, katanya.

Amanah adalah modal sosial profesional perakaunan yang seterusnya mewujudkan keyakinan dalam kalangan pihak berkepentingan dalam peraturan pasaran modal, katanya, sambil menambahkan, "Amanah adalah sesuatu yang sukar dimiliki dan sangat rapuh, oleh itu perlu dijaga .

"Apabila ia pecah, sangat sukar untuk dibina semula, oleh itu amat penting bagi akauntan profesional untuk melindunginya. - BERNAMA

61 dibaca
Berita Harian X