Isnin, 11 September 2017 | 8:27pm

Hong Leong Islamic ikrar RM350j untuk TERAS

KUALA LUMPUR: Hong Leong Islamic Bank Bhd (HLISB) berikrar untuk menyumbang sebanyak RM350 juta kepada program Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (TERAS) untuk dua tahun akan datang, menjadikan dana terkumpul program itu kepada RM2.89 bilion.

Program yang diasaskan di bawah Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) itu bertujuan bagi meningkatkan penyertaan perusahaan kecil dan sederhana Bumiputera (PKS) dalam ekonomi Malaysia dengan membantu mereka bersaing serta mempercepatkan pertumbuhan dalam pasaran terbuka.

Ketua Pegawai Eksekutif HLISB (CEO), Jasani Abdullah, berkata dana RM225 juta itu akan diperuntukkan untuk pembiayaan modal kerja dan bakinya akan digunakan untuk membiayai pemerolehan aset.

"Kami mahu menyediakan kemudahan pembiayaan kepada 20 atau 30 syarikat yang berdaftar dengan TERAS setiap tahun.

"HLISB akan membuat penilaian berdasarkan potensi mereka untuk meningkat dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang termasuk keupayaan untuk mereka berkembang melangkaui sempadan negara," katanya selepas majlis pertukaran dokumen dana TERAS antara HLISB dan TERAJU di sini hari ini.

Tumpuan akan diberikan ke atas industri seperti pembinaan, infrastruktur, telekomunikasi, teknologi pertanian, perkilangan dan mesra alam.

"Sektor ini telah dipilih berdasarkan keupayaan mereka untuk mewujudkan peluang kerja dan kekayaan, termasuk kesan pengganda ekonomi," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Datuk Husni Salleh, berkata hingga Julai 2017, sebanyak 310 syarikat di bawah program Teras telah menerima pembiayaan untuk pembelian aset dan modal kerja, bernilai RM1.39 bilion.

"Kami mengalu-alukan penyertaan HLISB berikutan pengalaman dan kepakaran mereka akan membantu syarikat Bumiputera untuk berkembang dan bersaing dalam Malaysia serta luar negara," katanya. - BERNAMA

82 dibaca
Berita Harian X