Isnin, 11 September 2017 | 8:25pm

Pelabur beri reaksi positif pelantikan Azhar

KUALA LUMPUR: Peserta pasaran memberi reaksi positif terhadap pelantikan Datuk Azhar Abdul Hamid sebagai Pengerusi baharu Felda Global Ventures Bhd (FGV).

Reaksi positif itu diperlihatkan dengan saham syarikat perladangan itu meneruskan aliran meningkat sejak Jumaat lalu selepas pelantikan Azhar itu diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Harga saham FGV ditutup tinggi pada paras RM1.71 hari ini, melonjak 7.55 peratus dalam tempoh dua hari dagangan sejak Jumaat lalu.

Dalam dagangan hari ini, harga sahamnya mencecah paras tinggi harian pada RM1.74 dan paras rendah RM1.67.

Penganalisis pasaran, Nazarry Rosli, berkata imej korporat Azhar yang bersih memberikan keyakinan kepada pelabur mengenai hala tuju kepimpinan tertinggi syarikat perladangan itu susulan kemelut kepimpinan yang dihadapi FGV sebelum ini.

Katanya, pengalaman luas Azhar dalam dunia korporat serta pengetahuan dan kepakarannya dalam sektor perladangan dilihat mampu membawa FGV ke peringkat yang lebih tinggi.

"Azhar mempunyai imej yang positif dan berpengalaman luas dalam dunia korporat. Beliau juga mempunyai rekod prestasi yang baik dan tidak banyak kontroversi.

"Pelabur menyambut baik dan positif dengan perlantikan Azhar yang mana beliau bukan orang politik, sekali gus menepati kehendak peserta pasaran," katanya kepada BH di sini, hari ini.

Azhar pernah berkhidmat sebagai Pemangku Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby Bhd, Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd dan Pengerusi Tradewinds Corporation Bhd.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Securities Sdn Bhd, Pong Teng Siew juga tidak menolak perlantikan Azhar turut menyumbang secara positif kepada sentimen pelabur.

Beliau berkata, harga saham FGV juga meneruskan aliran meningkat yang dicatatkan pada Jumaat lalu.

"Sektor perladangan dilihat optimistik dengan harga minyak sawit mentah (CPO) dijangka meningkat, sekali gus menyokong pergerakan aliran meningkat saham FGV," katanya.

Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri mengumumkan pelantikan Azhar sebagai Pengerusi FGV yang baharu, berkuat kuasa pada hari sama.

Pagi ini, Azhar memulakan tugasnya dengan mempengerusikan mesyuarat bersama pengurusan kanan FGV mengenai pelan dan usaha untuk meningkatkan prestasi syarikat perladangan itu.

Dalam pengumuman kepada Bursa Malaysia petang ini, FGV mengumumkan perlantikan Azhar sebagai Pengerusi FGV dan Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob sebagai Pengarah berkuat kuasa Jumaat lalu.

188 dibaca
Berita Harian X