Khamis, 10 Ogos 2017 | 10:31pm

MAHB catat pertumbuhan penumpang 7.1%

KUALA LUMPUR: Rangkaian lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen (SGIA) Istanbul, mencatat pertumbuhan bilangan penumpang sebanyak 7.1 peratus kepada 11.4 juta pada Julai 2017 berbanding tempoh sama tahun lalu.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, MAHB berkata pergerakan penumpang antarabangsa berjumlah 5.3 juta dengan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 12.3 peratus, manakala domestik turut bertambah 2.9 peratus kepada enam juta penumpang daripada Julai 2016.

Aliran pesawat pula meningkat 2.1 peratus dengan segmen antarabangsa menokok sebanyak 10.1 peratus manakala domestik sebaliknya susut 2.5 peratus bagi tempoh itu berbanding sebelumnya.

"Bagi asas perbandingan 12 bulan, keseluruhan rangkaian lapangan terbang MAHB mencatat pertumbuhan 8.5 peratus membabitkan 124.8 juta penumpang iaitu kendalian trafik tertinggi dalam tempoh berkenaan," kata MAHB.

Di peringkat domestik, lapangan terbang di Malaysia mencatat pergerakan 8.3 juta penumpang pada Julai 2017, iaitu peningkatan sebanyak 5.2 peratus bagi tahun ke tahun berbanding tempoh sama tahun lalu.

Sektor antarabangsa merekodkan 4.3 juta penumpang dengan kenaikan sebanyak 11.7 peratus, manakala sektor domestik susut satu peratus kepada empat juta penumpang.

Trafik antarabangsa untuk destinasi ASEAN meningkat 12.8 peratus kepada 2.1 juta penumpamg, manakala aliran bukan ASEAN mencatat pertumbuhan 10.6 peratus kepada 2.2 juta penumpang.

Pergerakan pesawat secara keseluruhannya meningkat sebanyak 3.7 peratus.

Bagi tempoh sama, secara keseluruhannya, purata faktor muatan adalah sebanyak 77.5 peratus iaitu susut 1.1 mata peratusan berbanding sebelumnya.

Bagi asas perbandingan 12 bulan, kesemua rangkaian lapangan terbang MAHB merekodkan pertumbuhan 8.5 peratus dengan 124.8 juta penumpang iaitu trafik tertinggi pernah dikendalikan dalam masa sama oleh syarikat itu.

MAHB berkata, antara faktor penyumbang kepada pertumbuhan itu adalah peralihan musim haji kepada Julai 2017, kelonggaran visa untuk India dan China, harga tambang yang lebih kompetitif serta kadar tukaran asing yang berpihak kepada pelancong asing.

Selain itu, permintaan yang meningkat itu turut ditampung oleh pertambahan kapasiti tempat duduk bagi penerbangan antarabangsa.

Dalam pada itu, MAHB berkata SGIA juga terus mencatat pertumbuhan pergerakan penumpang untuk bulan kelima berturut-turut pada 2017 dengan Julai merekodkan pertumbuhan dua angka untuk pertama kalinya sejak Mei 2016.

Aliran penumpang SGIA merekodkan pertumbuhan sebanyak 12.7 peratus pada Julai 2017 bagi tempoh sama tahun lalu kepada tiga juta penumpang iaitu kali pertama ia melepasi angka berkenaan sejak Ogos 2015.

"Ini jelas menunjukkan bahawa keyakinan terhadap SGIA telah kembali," katanya. - BERNAMA

112 dibaca
Berita Harian X