Khamis, 10 Ogos 2017 | 6:33pm
Dr Mohd Shuhaizam Mohd Zain.

Dr Mohd Shuhaizam dilantik CEO Bioeconomy Corporation

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Bioekonomi Malaysia (Bioekonomi Corporation), agensi pembangunan ekonomi mengkhusus dalam memacu pertumbuhan industri berasaskan bio di Malaysia, melantik Dr Mohd Shuhaizam Mohd Zain sebagai Ketua Pegawai Eksekutifnya, berkuat kuasa 1 Ogos 2017.

Bioekonomi Corporation dalam kenyataannya berkata, pengalaman dan pengetahuan luas Dr Shuhaizam dalam dasar dan hala tuju kerajaan, selain pengetahuan mendalam dalam kejuruteraan, integrasi sistem dan bioperubatan, membantu beliau merangka kajian daya maju dan konsep perniagaan dengan berjaya.

"Dr Shuhaizam memiliki latar belakang pelbagai dan memiliki pengalaman dalam industri untuk mengurus dan meneraju perniagaan ke tahap berikutnya, terutamanya dalam persekitaran ekonomi yang pesat berubah hari ini.

"Sejak 2005, beliau membangunkan 10 syarikat termasuk perladangan, penjagaan kesihatan, teknologi hijau, biomass, biotenaga, teknologi bersih, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan latihan," katanya.

Dr Mohd Shuhaizam memiliki Sarjana Perubatan Dan Pembedahan dari Royal College of Surgeons di Ireland, Dublin.

344 dibaca
Berita Harian X