Khamis, 10 Ogos 2017 | 3:19pm

TNB permudah pembayaran bil elektrik

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) menambah saluran pembayaran bil elektrik bagi kemudahan pelanggannya.

Ia menambah saluran pembayaran bil elektrik kepada lebih 17,000 premis yang menerima bayaran melalui e-Pay dan lebih 2,000 kedai 7 Eleven di seluruh negara, sekali gus menjadikan urusan itu lebih mudah.

TNB dalam satu kenyataan berkata, pelanggan kini boleh menjelaskan bil elektrik bukan saja di stesen Petronas yang menggunakan sistem e-Pay, malah di kedai runcit dan pasar raya besar terpilih melalui sistem yang sama.

"Penambahan saluran pembayaran TNB ini adalah usaha berterusan kami dalam memenangi hati pelanggan dengan menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan yang memberi nilai tambah kepada mereka," kata Pengurus Besar Kanan (Perkhidmatan Pengguna), Bahagian Pembahagian, Ir Kamaliah Abdul Kadir.

TNB turut menawarkan peluang memenangi rebat tunai untuk bil elektrik sebanyak RM50 kepada mereka yang menggunakan e-Pay sehingga 9 September 2017.

"Pembayaran bil TNB juga boleh dibuat pada bila-bila masa di kedai serbaneka dibuka 24 jam, 7 Eleven yang berhampiran.

"Bil TNB juga boleh dijelaskan di Pos Malaysia, premis bank terpilih dan perbankan internet," katanya lagi.

Untuk maklumat lanjut berhubung pelbagai kaedah mudah bagi membayar bil elektrik, sila layari laman web www.tnb.com.my

2053 dibaca
Berita Harian X