Rabu, 9 Ogos 2017 | 7:40pm
MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berucap pada majlis sesi ramah mesra bersama pengerusi, ketua pegawai eksekutif, ahli lembaga pengarah syarikat tersenarai awam di Bursa Malaysia hari ini. - Foto BERNAMA

17.9% ahli lembaga pengarah 100 PLC adalah wanita

KUALA LUMPUR: Sebanyak 17.9 peratus daripada ahli lembaga pengarah di 100 syarikat senaraian awam (PLC) utama di Bursa Malaysia adalah wanita sehingga 30 Jun tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, jumlah itu menghampiri matlamat 18 peratus sasaran yang ditetapkan kerajaan bagi tahun ini, membabitkan wanita sebagai pembuat keputusan dalam 100 syarikat korporat utama..

Bagaimanapun, katanya, peratusan itu masih rendah untuk mencapai sasaran 30 peratus penempatan wanita sebagai ahli lembaga pengarah dalam keseluruhan PLC menjelang 2020 seperti yang ditetapkan kerajaan pada 2011.

Rohani berkata demikian pada sesi Ramah Mesra bersama Pengerusi/Ketua Pegawai Eksekutif/ Ahli Lembaga Pengarah PLC di Bursa Malaysia, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kementeriannya akan terus berusaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan industri dan korporat bagi memastikan PLC melantik lebih ramai wanita sebagai ahli lembaga pengarah syarikat.

"Masih terdapat 17 daripada 100 syarikat senaraian awam utama di dapati tidak mempunyai seorang pun wanita sebagai ahli lembaga syarikat," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, mana-mana syarikat yang gagal membantu sasaran itu menjelang tahun depan, kerajaan akan menamakan PLC yang tidak mempunyai wanita dalam lembaga pengarah seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Selain itu, katanya, KPWKM juga akan memperhebatkan lagi Inisiatif Program Latihan Pengarah Wanita bagi meningkatkan peratusan bilangan wanita sebagai pembuat dasar di sektor korporat. - BERNAMA

118 dibaca
Berita Harian X