Rabu, 9 Ogos 2017 | 5:57pm

Untung sebelum cukai MISC susut

KUALA LUMPUR: Keuntungan sebelum cukai MISC Bhd susut sebanyak 60 peratus​​​​​​ ​kepada RM558.7 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2017 daripada RM1.37 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

Perolehan juga berkurangan kepada RM2.3 bilion daripada RM2.39 bilion bagi tempoh yang sama, menurut syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Penyedia penyelesaian dan perkhidmatan maritim berkaitan tenaga itu berkata, segmen perniagaan petroleum mengalami kerugian operasi sebanyak RM20.1 juta berbanding keuntungan RM58 juta pada suku yang sama tahun lepas, ekoran perolehan lebih rendah dan kos bunker lebih tinggi pada suku semasa.

Segmen kejuruteraan berat dan luar pesisir turut merekodkan kerugian operasi bagi suku berkenaan.

Bagaimanapun, segmen gas asli cecair (LNG) MISC mencatatkan keuntungan operasi berjumlah RM557.7 juta, meningkat RM306 juta daripada keuntungan sebanyak RM251.7 juta pada suku yang sama tahun lalu.

Prestasi itu didorong terutama penerimaan bayaran ganti rugi susulan penamatan kontrak sewa​​​​​​​ kapal yang lebih awal dan pajakan dua kapal baharu yang mula berkuat kuasa.

Bagi enam bulan semasa, keuntungan sebelum cukai MISC susut kepada RM1.255 bilion daripada RM2.15 bilion yang dicatatkan pada tempoh enam bulan yang berakhir 30 Jun 2016.

Perolehan meningkat kepada RM5.28 bilion daripada RM4.78 bilion bagi tempoh yang sama.

Mengenai prospek, MISC berkata, pasaran penghantaran LNG terus dipengaruhi oleh penghantaran ​​​​​​​baharu serta sewa khas kapal lama yang tamat tempoh, sekali gus menjejaskan kadar semasa.

"Bagaimanapun, ia akan memberi kesan terhad ke atas prestasi kukuh segmen perniagaan LNG syarikat memandangkan portfolio semasa bagi sewa khas jangka panjang telah ditetapkan.

"Oleh kerana pasaran petroleum kembali seimbang, persekitaran harga minyak yang lebih stabil akan mewujudkan pemulihan secara berperingkat bagi pelaburan minyak dan gas luar pesisir dunia," menurutnya.

Menurut MISC, prestasi kewangan segmen luar pesisirnya akan terus kekal kukuh disokong oleh kontrak jangka panjang yang diperoleh walaupun peluang semasa adalah terhad.

Bagi segmen kejuruteraan berat, MISC berkata, ia akan menumpu kepada kepelbagaian aliran perolehan baharu dan pada masa sama meneruskan usaha untuk memenuhi nilai perolehan kontrak.

"Pada masa sama, pengurusan kos, pengoptimuman sumber dan kecekapan operasi akan terus diberi keutamaan.

"Kejuruteraan berat berjaya memperoleh beberapa kontrak semasa pada tempoh ini, dan hasilnya mungkin tidak dapat dilihat dalam tempoh singkat, kebanyakan sumbangan hanya akan direalisasikan pada ​​​​​​​2018 dan tahun-tahun seterusnya," kata MISC.

-- BERNAMA

Berita Harian X