Isnin, 17 Julai 2017 | 3:55pm
TREN Transit Aliran Massa (MRT) yang membawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Stesen Stadium Kajang selepas beliau melancarkan Fasa 2 MRT Sungai Buloh-Kajang (SBK) di Stesen Tun Razak Exchange (TRX) hari ini.
- Foto BERNAMA

Prasarana tawar kepakaran projek mega

KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) sedia menawarkan perkhidmatan dan kepakaran dalam projek mega seperti Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dan Projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz, berkata Prasarana bagaimanapun tidak terbabit dalam sebarang bidaan projek berkenaan kerana masih di peringkat awal perancangan.

"Ketika ini kita belum ada perancangan tetapi kami sentiasa bersedia jika ada keperluan dan permintaan daripada kerajaan.

"Kami lebih menawarkan perkongsian kepakaran untuk projek di luar negara seperti di Jakarta dan Arab Saudi," katanya pada pemberita selepas pelancaran fasa kedua Tren Aliran Transit Massa (MRT) laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) di sini, hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Yang turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Setiausaha Negara yang juga Pengerusi MRT Corp, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

215 dibaca
Berita Harian X