Khamis, 11 Oktober 2018 | 2:13pm
NORDIN Daharom (dua dari kiri) bersama Timbalan Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta (Operasi), Ahmad Zailan Azizuddin (kiri) dan Md Badrul Hisham pada Majlis Pelancaran Laporan Pasaran Harta Mengikut Wilayah dan Taklimat Pasaran Awalan Harta Tanah 2018 di Institut Penilaian Negara (INSPEN). - Foto NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Jumlah rumah siap tidak terjual meningkat

KAJANG: Kediaman siap dibina tidak terjual di Malaysia bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini meningkat 18.1 peratus kepada 29,227 unit yang bernilai RM17.24 bilion, disebabkan oleh serapan pasaran yang perlahan.

Serapan pasaran dalam sektor hartanah merujuk kepada jumlah bulan yang diambil untuk menjual rumah yang sedia ada dalam pasaran.

Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Nordin Daharom, berkata rumah kediaman bertingkat iaitu kondominium dan pangsapuri adalah penyumbang terbesar kepada jumlah rumah siap tidak terjual, dengan merekodkan sebanyak 11,602 unit atau mewakili 39.7 peratus daripada jumlah keseluruhan.

"Kondominium dan pangsapuri adalah unit siap dibina paling banyak tidak terjual, berharga antara RM500,000 hingga RM1 juta. Meskipun situasi harta kediaman tidak terjual kurang menggalakkan, aktiviti pembinaan merangkumi unit siap dibina, mula dibina dan penawaran baharu dirancang menunjukkan prestasi bercampur-campur," katanya pada Majlis Pelancaran Laporan Harta Tanah Mengikut Wilayah dan Taklimat Pasaran Amalan Harta Tanah 2018, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), Md Badrul Hisham Awang.

Pasaran hartanah tempatan terus perlahan pada separuh pertama tahun ini.

Terdapat lebih 149,889 jumlah transaksi bernilai RM67.74 bilion, penurunan transaksi sebanyak 2.4 peratus dan nilai berjumlah 0.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu (153,526 transaksi bernilai RM67.83 bilion).

Mengulas lanjut, Nordin berkata, isu kediaman siap dibina tidak terjual dan ruang komersial tidak dihuni adalah isu penting yang perlu ditangani semua pihak terutama pihak berkuasa tempatan dan pemaju hartanah.

"Kedua-dua pihak berkenaan mesti melaksanakan kajian sewajarnya sebelum membuat keputusan untuk sesuatu pembangunan bagi mengelakkan berlakunya situasi lebihan penawaran.

"Justeru, data yang terkini dan tepat adalah sangat penting," katanya.

Sementara itu, data Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) menunjukkan sektor pejabat merekodkan kadar penghunian melebihi 82.8 peratus.

Manakala kadar penghunian bagi sektor ruang niaga adalah stabil dengan 79.9 peratus.

Pada akhir Jun 2018, sebanyak 21.62 juta meter persegi ruang pejabat sedia ada daripada 2,502 bangunan.

Sebanyak 68 bangunan lagi sedang dalam penawaran manakala 30 bangunan sedang dirancang.

Mengulas mengenai prospek akan datang, Nordin berkata, pasaran harta tanah kekal stabil tetapi perlahan dalam beberapa tahun akan datang, disokong oleh pelbagai insentif berkaitan dengan harta serta dasar kewangan yang akomodatif.

306 dibaca
Berita Harian X