Selasa, 9 Oktober 2018 | 12:25pm
ZURAIDA Kamaruddin ketika sidang media selepas Persidangan Perumahan 2018 di Wisma REHDA. - Foto Saddam Yusoff

Kerajaan usaha tambah rumah mampu milik

PETALING JAYA: Kerajaan bercadang untuk mengurangkan kos pematuhan yang dikenakan ke atas pemaju perumahan dalam usaha meningkatkan lebih banyak pembinaan rumah mampu milik, bermula tahun depan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata kos berkenaan akan ditanggung oleh pihak dan syarikat berkaitan utiliti seperti Tenaga Nasional Bhd (TNB), syarikat telekomunikasi dan syarikat air.

"Perbincangan mengenainya sudah dilakukan di peringkat kementerian dan secara dasarnya mereka telah bersetuju untuk menanggung kos pematuhan itu.

"Sebaik sahaja dasar perumahan mampu milik diluluskan Kabinet, kami akan melaksanakan cadangan pengurangan kos pematuhan itu pada 2019," katanya selepas menghadiri Persidangan Perumahan 2018 - Perumahan di Era Perubahan: Hala Tuju Baharu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Institut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA), Datuk Jeffrey Ng Tiong Lip dan Timbalan Presiden REHDA Malaysia, Datuk Khor Chap Jen.

Masalah kenaikan harga rumah termasuk rumah mampu milik di negara ini antara lain adalah disebabkan pelbagai kos yang perlu ditanggung pemaju termasuk kos pematuhan, seperti premium penukaran syarat guna tanah.

Ini kerana, menurut penganalisis hartanah, kebanyakan kos berkenaan mengalami peningkatan sehingga 400 peratus sejak 2008 dan memberi impak kepada kenaikan harga hartanah.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, setakat ini pemaju perumahan menanggung kos pematuhan antara 20 hingga 25 peratus yang memberi impak kepada kenaikan harga rumah.

"Jadi, pengurangan kos berkenaan turut membantu pemaju untuk menangani bebanan kos pembinaan yang ditanggung. Ia seterusnya akan memberi manfaat kepada pembeli kerana semua bil akan diuruskan oleh syarikat berkenaan bukannya pemaju," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai harga siling untuk rumah mampu milik, Zuraida berkata, kementerian mempertimbangkan untuk menetapkan pada harga RM500,000 dan ke bawah.

"Bagaimanapun ia bergantung kepada lokasi termasuk nilai pasaran hartanah setempat. Perkara ini sedang dibincangkan dan mungkin dimuktamadkan pada tahun depan," katanya.

Dalam ucaptamanya sebelum itu, beliau berkata, kementerian mengambil dua pendekatan dalam membantu industri perumahan negara iaitu memperkasakan pembeli rumah daripada aspek permintaan dan mengurangkan kos pembangunan dari segi penawaran.

"Dalam era perubahan ini, kita tidak boleh berpuas hati dengan hanya menyediakan satu unit rumah tetapi sebaliknya berusaha menawarkan rumah lebih berkualiti untuk semua dan memastikan pembangunan itu dapat diakses serta mampu dimiliki kumpulan sasaran.

"Pemaju hari ini perlu turut sama bertanggungjawab membina masyarakat berkualiti di kalangan pembeli mereka dan menyediakan ekosistem yang diperlukan ke arah kehidupan yang berkualiti," katanya.

Beliau menambah, kedua-dua sektor swasta dan awam perlu bekerjasama untuk mencapai misi perumahan negara lebih cekap.

171 dibaca
Berita Harian X