Isnin, 14 Mei 2018 | 1:58pm
PRESIDEN Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Seri FD Iskandar. - Foto Mohd Yusni Ariffin

REHDA gesa PH tangani isu tertangguh perumahan

KUALA LUMPUR: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) menggesa kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) mengambil pendekatan holistik untuk menangani beberapa isu yang lama tertangguh, termasuk perumahan mampu milik dan meningkatkan kos pematuhan.

Presidennya, Datuk Seri FD Iskandar, berkata persatuan menunggu pengumuman Kementerian Perumahan yang baharu, yang beliau percaya akan bekerjasama rapat dengan peserta industri mencari penyelesaian untuk terus mengukuhkan industri.

"Kami memuji manifesto PH mengenai perumahan yang mengandungi beberapa cadangan yang diminta oleh REHDA. Sekarang ini terpulang kepada semua perwakilan yang dipilih untuk menunaikan janji pilihan raya mereka kepada rakyat.

"Terdapat jangkaan yang tinggi supaya kerajaan baharu akan terus meningkatkan daya saing negara dengan menambah baik seluruh sistem penyampaian dan kecekapan. Usaha bagi hala tuju ini adalah bagus kepada ekonomi dan meningkatkan imej kita sebagai destinasi pelaburan," katanya dalam satu kenyataan.

Antara janji PH adalah mewujudkan skim pinjaman perumahan khas kepada beliau yang mahu membeli rumah pertama, menubuhkan Majlis Perumahan Mampu Milik Negara dan meluaskan skim sewa-milik ke seluruh negara, melalui kerjasama dengan bank komersial dengan membolehkan skim sedemikian diperkenalkan dalam pasaran utama dan serta sekunder.

Dalam kenyataan itu, FD Iskandar turut mengucapkan tahniah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, di atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri ketujuh.

-BERNAMA

285 dibaca
Berita Harian X