Jumaat, 27 April 2018 | 6:13pm
ANTARA orang ramai yang hadir pada Majlis Perasmian Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) 2018 & Pelancaran Maybank MaxiHome Ezy Officiated di Mid Valley Exhibition Centre (MVEC). - Foto Aswadi Alias

MAPEX 2018 tawar hartanah RM1 bilion

KUALA LUMPUR: Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) 2018 yang berlangsung sehingga Ahad ini menawarkan hartanah bernilai RM1 bilion membabitkan 40 pemaju.

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Seri FD Iskandar, berkata acara tahunan yang dianjurkan sejak 1999 itu menampilkan beberapa kelainan termasuk rebat tunai kepada pembeli kediaman.

"Banyak kelainan MAPEX 2018 berbanding edisi sebelum ini termasuk rebat tunai RM2,000 kepada 15 pembeli kediaman terawal yang bakal menikmati diskaun menarik daripada REHDA.

"Acara kali ini juga adalah pertama tahun ini dan selepas Bajet 2018. Ia adalah ekspo hartanah terbesar di Malaysia," katanya kepada media selepas majlis perasmian MAPEX 2018 di sini, hari ini.

MAPEX 2018 dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dr Mary Wong Lai Lin.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican; dan Pengerusi Penganjur MAPEX 2018, Datuk Ng Seing Liong.

Bertemakan #ahomeforbettertomorrow, MAPEX 2018 dijangka dihadiri oleh 30,000 pengunjung sepanjang tiga hari pameran berlangsung di Pusat Pameran Midvalley, Kuala Lumpur.

Acara tahunan yang hampir memasuki dua dekad anjuran REHDA itu turut menyasarkan jualan hartanah berjumlah RM500 juta berbanding jualan dianggarkan antara RM200 hingga RM300 juta yang dicatatkan tahun lalu.

FD Iskandar berkata, acara pertama untuk tahun ini di Lembah Klang itu menjadi pusat sehenti kepada pengunjung, bukan hanya untuk mendapatkan kediaman idaman, malah memperoleh ilmu mengenai hartanah menerusi pencerahan daripada ceramah daripada pakar hartanah.

"REHDA akan terus mempromosikan sektor hartanah negara ke arah lebih dinamik dalam misi menjadi sebuah negara kelas dunia yang progresif dan mampan," katanya.

MAPEX 2018 turut disertai pemain industri seperti Jabatan Perumahan Negara dan Tribunal Pengurusan Perumahan dan Strata (TPPS), Institusi Kewangan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP), Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia (PPA1M) dan Rumah Selangorku.

INFO:

MAPEX 2018

- Dianjurkan di Pusat Pameran Midvalley, Kuala Lumpur pada 27 hingga 29 April 2018

- Lebih 40 pemaju hartanah terbabit.

- RM30,000 wang tunai diberi kepada 15 pembeli rumah

158 dibaca
Berita Harian X