;
Rabu, 25 April 2018 | 2:11pm
TENGKU Adnan Tengku Mansor

300 komuniti India terima kunci rumah

KUALA LUMPUR: Seramai 300 masyarakat India bagi program penempatan semula menerima kunci Pangsapuri Pandanmas 2 Kampung Pandan yang disampaikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Komuniti itu sebelum ini tinggal di kawasan yang daif, sempit dan kurang selesa, kini berpindah ke kediaman lebih kondusif dan menarik.

Pangsapuri Pandanmas2 ditawarkan pada harga RM42,000 dengan keluasan 800 kaki persegi kepada penduduk asal kawasan berkenaan yang majoritinya adalah kaum India.

Tengku Adnan berkata, kediaman itu pastinya merubah landskap kehidupan komuniti terbabit ke aras lebih sempurna.

"Projek ini tidak menggunakan dana kerajaan sebaliknya kerjasama erat antara pemaju, Aset Kayamas dan kerajaan dalam usaha menawarkan rumah mampu milik kepada rakyat.

"Tak mungkin anda dapat beli rumah pada harga serendah RM42,000 dengan keluasan sebegini pada jarak kurang dari dua kilometer di tengah-tengah Kuala Lumpur," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Residensi dan Pangsapuri Pandanmas 2 Kampung Pandan di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Tengku Adnan turut menyerahkan kunci RUMAWIP Residensi Pandanmas 2 kepada 1,920 pembeli.

Ia dijual pada harga RM300,000 seunit yang jauh lebih rendah dari harga pasaran semasa di kawasan berkenaan.

Kediaman dengan keluasan 900 kaki persegi itu mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air dan satu petak tempat letak kereta berbumbung.

290 dibaca
Berita Harian X