Rabu, 11 April 2018 | 5:24pm
AR Ezumi Harzani Ismail (kiri) bersama Datuk Ir Ahmad Asri Abdul Hamid pada majlis pelancaran Kontrak Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) bagi tahun 2018 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Nik Hariff Hassan

IBS jadi syarat mandatori wujud skala ekonomi

KUALA LUMPUR: Langkah menjadikan Sistem Binaan Industri (IBS) sebagai syarat mandatori kepada semua pemaju hartanah swasta menjelang 2020 adalah tepat pada masanya, dengan tempoh peralihan yang wajar.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Datuk Ir Ahmad Asri Abdul Hamid berkata, dengan tempoh yang diberikan, pihaknya berharap sektor swasta bersedia sepenuhnya memandangkan IBS mampu menjadi pemacu sektor pembinaan, sekali gus mewujudkan skala ekonomi yang besar bagi permintaan projek berasaskan IBS.

"Setakat ini, kita boleh lihat banyak syarikat mula beralih kepada penggunaan IBS dalam setiap projek yang dijalankan dan jumlah ini semakin bertambah dari tahun ke tahun.

"Banyak juga pemaju mula menyedari kepentingan IBS menyumbang kepada produktiviti dan kurang bergantung kepada pekerja asing dan kita berharap apabila tiba masanya ia dijadikan mandatori, mereka sudah bersedia sepenuhnya.

"Jumlahnya walaupun meningkat, ia masih dianggap kecil kerana 75 peratus projek dalam industri adalah dari sektor swasta dan 25 peratus adalah kerajaan," katanya pada majlis pelancaran Kontrak Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) bagi tahun 2018 di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden PAM, Ar Ezumi Harzani Ismail dan Jawatankuasa Kontrak PAM, Ar Steven Thang.

Kontrak PAM 2018 adalah kontrak edisi keempat sejak pelancaran pertamanya pada 1969 yang menggariskan standard perjanjian pembinaan antara kontraktor dan pihak pemaju bagi kelancaran sesuatu projek.

Kerajaan sebelum ini menetapkan tempoh tiga tahun kepada pemaju swasta untuk mempersiap dan memperkemaskan kembali operasi syarikat supaya mengguna pakai sistem IBS.

Ahmad Asri berkata, selain sistem IBS, pihaknya turut menggalakkan pemaju swasta untuk menerapkan penggunaan Permodelan Informasi Bangunan (BIM) dalam projek yang dilaksanakan.

Bagaimanapun, katanya jumlah syarikat yang menggunakan BIM masih rendah memandangkan perisiannya membabitkan kos yang tinggi selain kekurangan bakat berkebolehan untuk mengendalikannya.

"Untuk itu, CIDB menerusi Akademi Binaan Malaysia (ABM) di enam lokasi utama seluruh negara menawarkan latihan penggunaan BIM dalam melahirkan lebih ramai profesional dalam bidang ini.

"Malah, kita turut menjalin kerjasama dengan universiti tempatan dari fakulti kejuruteraan dan seni bina dalam menyediakan silibus yang selari dengan BIM serta IBS," katanya.

240 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »