;
Selasa, 13 March 2018 | 4:59pm
PENGERUSI Penganjur MAPEX 2018, Datuk Ng Seing Liong. - Foto Sairien Nafis

MAPEX 2018 sasar jualan RM500 juta

PETALING JAYA: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) menyasarkan jualan RM500 juta bagi Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) 2018, berbanding jualan dianggarkan antara RM200 hingga RM300 juta yang dicatatkan tahun lalu.

Pengerusi Penganjur MAPEX 2018, Datuk Ng Seing Liong, berkata sasaran itu dilihat mampu dicapai melalui penyertaan lebih daripada 60 pemaju hartanah di bawah satu bumbung yang akan memaparkan hartanah terbaik masing-masing.

"Setakat ini, kami berjaya mengesahkan penyertaan sebanyak 40 pemaju hartanah bagi acara ini dan menjangkakan jumlah itu boleh meningkat menjelang penganjuran acara terbabit pada April ini," katanya pada sidang media MAPEX 2018 di sini, hari ini.

Beliau berkata, antara pemaju hartanah yang mengesahkan penyertaan dalam acara hartanah yang diadakan dua kali setahun itu adalah IJM Land Bhd, Glomac Bhd dan Matrix Concepts Holdings Bhd.

Menurutnya, acara itu bukan saja bakal memaparkan pilihan hartanah strata, bertanah serta komersil malah, turut menyaksikan penyertaan daripada institusi kewangan, jabatan dan agensi berkaitan kerajaan.

"MAPEX 2018 sebagai pusat sehenti hartanah turut disertai pemain industri seperti Jabatan Perumahan Negara dan Tribunal Pengurusan Perumahan dan Strata (TPPS), Institusi Kewangan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) dan Rumah Selangorku," katanya.

Seing Liong berkata, MAPEX 2018 turut menawarkan acara menarik untuk pengunjung seperti sesi perbincangan dengan pakar hartanah, kempen derma darah dan aktiviti interaktif.

"Pembeli rumah juga berpeluang memperoleh wang tunai sebanyak RM30,000 yang akan diberikan kepada 15 pembeli yang melakukan pembelian hartanah sepanjang acara ini berlangsung," katanya.

MAPEX 2018 akan dianjurkan di Pusat Pameran Midvalley, Kuala Lumpur pada 27 hingga 29 April ini dan ia dibuka kepada orang ramai bermula jam 10 pagi hingga 9 malam dengan kemasukan percuma.

326 dibaca
Berita Harian X