Jumaat, 9 March 2018 | 5:27pm
PENGARAH Institut Penilaian Negara (Inspen) Mohd Khairudin Abd Halim pada sidang media mengenai Simposium Penyelidikan Hartanah Antarabangsa Ke-9 2018 (IRERS 2018) di Bangi, hari ini. - Foto BERNAMA

Agensi tunggal rumah mampu milik imbangi pasaran perumahan

BANGI: Cadangan penubuhan agensi tunggal dalam pembekalan rumah mampu milik akan memudahkan proses pemantauan, merekod dan membuat semakan pembekalan serta permintaan perumahan dalam negara, kata Pengarah Institut Penilaian Negara (Inspen) Mohd Khairudin Abd Halim.

Justeru itu, beliau mengalu-alukan cadangan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menubuhkan satu agensi tunggal yang akan menyelaras lebih 20 agensi di peringkat pusat dan negeri yang terlibat dalam pembekalan rumah mampu milik.

"Kita memerlukan satu model yang baik untuk memantau, merekodkan dan membolehkan pihak berkaitan untuk membuat semakan.

"Dengan adanya satu badan atau agensi tunggal, ia akan memudahkan proses penyelarasan dan juga kebaikan bersama," katanya kepada pemberita pada satu sidang media mengenai Simposium Penyelidikan Hartanah Antarabangsa Ke-9 2018 (IRERS 2018), di sini, hari ini.

Bulan lalu, BNM dalam laporannya yang bertajuk "Rumah Mampu Milik: Cabaran dan Penyelesaian" menyatakan Malaysia menghadapi kekurangan rumah mampu milik untuk memenuhi keperluan ramai.

Sehubungan itu, BNM menggariskan lima strategi termasuk memusatkan inisiatif perumahan mampu milik dan menubuhkan pangkalan data perumahan bersepadu dan pendaftaran pemohon untuk merancang dan memperuntukkan rumah mampu milik.

Laporan itu antara lainnya juga menyatakan, harga rumah di Malaysia dikategorikan sebagai "sangat tidak mampu milik", mengakibatkan jumlah kediaman tidak terjual meningkat kepada 146,497 unit pada suku kedua 2017, kadar tertinggi dalam sedekad.

Mengenai IRERS 2018, Mohd Khairudin berkata pembangunan Waqaf di Malaysia dan cabaran Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) dalam harta intelektual (IP) adalah antara topik yang akan dibincangkan dalam simposium selama tiga hari itu yang akan berlangsung dari 23-25 April.

Beliau berkata kira-kira 300 peserta tempatan dan antarabangsa termasuk pakar, pengamal, penggubal dasar dan ahli akademik dijangka menyertai simposium itu.

Menurutnya, 90 kertas kerja akan dibentangkan dalam sesi profesional dan akademik yang meliputi topik penilaian dan penetapan harga, aset, harta dan pengurusan kemudahan, pelaburan hartanah, kewangan hartanah dan ekonomi, pembangunan hartanah dan pembinaan, konsep Islam dalam hartanah, kemampuan membeli rumah, analisis pasaran hartanah dan pengukuran prestasi hartanah serta pengurusan risiko.

"IRERS adalah platform bagi penyelidik dalam industri hartanah untuk berbincang dan bertukar-tukar idea mengenai perubahan yang dihadapi pasaran hartanah hari ini.

"Simposium itu akan menyediakan peluang terbaik bagi perangkaian global, berbincang dan bertukar-tukar maklumat dalam seluruh spektrum isu berkaitan dengan hartanah dan perkara berkaitan," katanya.

Mohd Khairudin berkata satu Anugerah Kertas Kerja Terbaik akan diberikan kepada penyelidik yang dipilih oleh juri profesional dan akan diumumkan serta disampaikan semasa sesi penutup persidangan itu.

-BERNAMA

447 dibaca
Berita Harian X