Jumaat, 9 March 2018 | 3:08pm

Banglo di Pulau Pinang hartanah termahal Malaysia

KUALA LUMPUR: iPropertyiQ.com, syarikat penyedia perkhidmatan penyelesaian data besar kelolaan portal hartanah, iProperty.com, menyenaraikan sebuah banglo Pulau Pinang sebagai hartanah kediaman termahal dijual di Malaysia tahun lalu.

Banglo berkenaan yang terletak di Jalan Utama, Pulau Tikus, kawasan kediaman kelas pertengahan atas di Pulau Pinang dijual pada harga RM14.5 juta.

iProperty.com dalam kenyataan berkata, senarai yang dikumpul oleh portal hartanah itu berdasarkan hasil jualan mengikut rekod Jabatan Perkhidmatan dan Penilaian Hartanah (JPPH).

"Sebagai syurga makanan terkemuka, Pulau Tikus juga adalah kediaman kegemaran golongan ekspatriat dari China, Indonesia dan Thailand.

"Antara tempat tumpuan ramai di kawasan ini termasuk Gereja Immaculate Conception dan pasar pagi Pulau Tikus. Harga penengah untuk setiap kaki persegi bagi banglo di Pulau Tikus ialah RM570," katanya.

Menurutnya, sembilan jualan hartanah kediaman termahal lain yang turut tersenarai adalah banglo di Jalan Bunga Hinai, Tanjung Tokong di Pulau Pinang pada RM13.6 juta; banglo di Bukit Tunku, di Kuala Lumpur (RM12.6 juta) dan kondominium Serai Bukit Bandaraya, Bangsar (RM12.1 juta) serta banglo di Bukit Damansara (RM12 juta).

Selain itu, antara yang tersenarai adalah The Enclave Bangsar (RM12 juta) serta rumah bandar di One Menerung Bangsar (RM10 juta) dan kondominium The Binjai On The Park, KLCC (RM9.9 juta), banglo di Masera Bukit Segar Cheras (RM9.8 juta) dan banglo di Casa Permai, Tanjung Tokong (RM9 juta).

491 dibaca
Berita Harian X