Isnin, 5 March 2018 | 5:27pm

Pameran hartanah MyRumah 2018 kembali

KUALA LUMPUR: Pameran Hartanah MyRumah 2018 kembali untuk tahun ketiga bagi tahun 2018, dijadualkan berlangsung di SACC Mall, Shah Alam dari 9 hingga 11 Mac ini.

Dianjurkan oleh The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) dan sebagai sebahagian daripada inisiatif kumpulan Media Prima Bhd, pameran itu menyediakan platform untuk orang ramai terutama pembeli rumah pertama untuk membeli rumah impian mereka dengan harga yang berpatutan.

Acara ini dibuka secara percuma dari 10 pagi hingga 10 malam setiap hari.

Acara juga menawarkan peluang kepada pelawat mendapatkan pengetahuan mendalam mengenai manfaat harta dan pelaburan daripada pakar industri mengenai pelbagai subjek berkaitan pemilikan rumah, pelaburan hartanah dan pinjaman perumahan.

Pameran hartanah di Shah Alam adalah lokasi pertama yang akan diadakan tahun ini, diikuti oleh Sungai Petani, Johor Bahru dan Melaka.

Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid, berkata syarikat ingin menjadikan acara ini sebagai satu platform pilihan untuk perundingan hartanah, yang mana pembeli rumah sedia ada dan bakal pembeli boleh datang untuk mendapatkan nasihat pakar daripada pemaju dan pakar hartanah.

"Sebagai platform "semua dalam satu", pengguna akan mendapat pilihan yang lebih baik dan boleh membuat keputusan yang tepat untuk membeli dan memiliki rumah impian mereka sementara pemaju boleh memaparkan produk, perkhidmatan dan tawaran yang berkualiti," katanya.

Jalil berkata mereka yang merancang untuk membeli hartanah, terutamanya pembeli rumah kali pertama, perlu merebut peluang keemasan ini kerana sebahagian besar hartanah yang ditawarkan bermula dari RM300,000, menyasarkan kumpulan B40 dan M40.

Antara pemaju yang mengambil bahagian ialah Sunsuria Bhd, Aset Kayamas Sdn Bhd, Magna Prima Bhd dan Sime Darby Property Bhd.

Antara penceramah dan pakar hartanah terkenal yang akan mengadakan perbincangan sepanjang acara berkenaan adalah Ahyat Ishak, Datuk Nazri Mustafa, Akmal Nazim, Bella Leana, Amin Harith dan Amsyari Syakur dari Pejuang Hartanah, selain wakil Amanah Raya, Bank Muamalat, Takaful Ikhlas serta kakitangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

1618 dibaca
Berita Harian X