Khamis, 8 Februari 2018 | 5:49pm

Sunway Property lancar projek hartanah 2018 bernilai RM2b

PETALING JAYA: Sunway Property, cabang hartanah Kumpulan Sunway, melancarkan projek hartanah bernilai RM2 bilion untuk tahun ini membabitkan lapan lokasi di dalam dan luar negara.

Pengarah Urusannya, Sarena Cheah, berkata nilai itu adalah hampir sekali ganda berbanding projek hartanah yang dilancarkan syarikat itu tahun lalu, iaitu RM1.1 bilion.

Katanya, dari segi jualan, pihaknya mengunjurkan jualan sebanyak RM1.3 bilion pada tahun ini berbanding RM1.15 bilion yang dicapai pada tahun lalu.

"Projek yang akan dilancarkan ialah pembinaan rumah bandar (townhouse) di Sunway Citrine Lakehomes di Iskandar Puteri, Johor dan di Sunway Onsen Suites di Ipoh, Perak.

"Selain itu, kita juga akan membangunkan apartmen di Sunway Velocity TWO dan Sunway Wangsa Maju masing-masing di Kuala Lumpur dan Sunway GEO Lake di Petaling Jaya, Selangor serta rumah kedai di Sunway Wellesley di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

"Dua lagi projek di luar negara masing-masing sebuah kondominium di Sunway Tianjin Eco City di China dan sebuah apartmen eksekutif di Sunway Rivercove Residence di Singapura," katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media mengenai perkembangan syarikat itu untuk tahun 2018 di sini, sebentar tadi.

Mengenai rancangan pengambilalihan bank tanah pada tahun ini, Sarena berkata, pihaknya akan meneruskan aktiviti terbabit sama seperti yang dilakukan tahun lalu dengan tumpuan terarah kepada mencari tanah di kawasan pembangunan berorientasikan transit (TOD).

"Kita akan menumpukan pencarian pengambilalihan tanah yang bersaiz kecil iaitu di antara 1.2-1.6 hektar yang terletak di tengah Lembah Klang atau yang berhampiran dengan pusat bandar pada saiz 12-16 hektar.

"Selain itu, kita juga mahu mencari tanah untuk membangunkan sebuah perbandaran, namun lokasinya mungkin agak jauh dari pusat bandar," katanya.

Pada tahun lalu, pemaju hartanah itu membeli 15.1 hektar tanah baharu di kawasan utama yang sesuai bagi tujuan TOD dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM5.5 bilion antaranya di Jalan Peel dan Jalan Belfield di Kuala Lumpur.

Sehingga kini, Sunway Property memiliki 1,337.5 hektar bank tanah dengan GDV bernilai RM53 bilion di Johor, Lembah Klang dan Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Sarena menjelaskan beliau yakin kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) kepada 3.25 peratus oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bulan lalu tidak akan menjejaskan jualan syarikat untuk tahun ini.

Ini kerana katanya, kenaikan itu masih mampu diserap oleh pengguna, malah sewaktu OPR pernah mencecah 3.5 peratus lima atau 10 tahun lalu, pertumbuhan hartanah di Malaysia pada ketika itu adalah masih baik dan tidak banyak terjejas.

"Saya tidak menjangkakan pasaran hartanah di Malaysia akan mengalami kejatuhan kerana masih disokong oleh asas ekonomi yang kukuh seperti kadar pekerjaan masih teguh dan pasaran ekuiti juga masih baik melainkan berlaku tragedi tidak dijangka di peringkat global," katanya.

310 dibaca
Berita Harian X