Rabu, 7 Februari 2018 | 3:39pm
DARI kiri: Nur Jalilah Md Joha, Chong Kwee Bit, Mohamad Helmi Syafiq Mohamad Alwi dan Thillappan Subramaniam menunjukkan replika kunci rumah yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) di Bukit Jalil, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

PPA1M Bukit Jalil serah kunci awal

KUALA LUMPUR: Aset Kayamas Sdn Bhd (Aset Kayamas), pemaju hartanah tempatan berjaya menyiapkan Projek Perumahan Awam 1 Malaysia (PPA1M) Bukit Jalil dalam tempoh 17 bulan lebih awal, berbanding dijadualkan siap pada Mei 2019.

Projek membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM356.8 juta itu terdiri daripada dua blok kediaman 41 tingkat dan dibangunkan di kawasan seluas 2.89 hektar, di lokasi strategik di Bukit Jalil.

Pengerusi Kumpulan Aset Kayamas, Tan Sri Chai Kin Kong, berkata projek berkenaan mendapat pembiayaan sepenuhnya daripada Malaysia Building Society Bhd (MBSB).

"Projek bernilai RM356.8 juta ini dibiayai oleh MBSB iaitu pembiaya utama bagi kebanyakan projek PPA1M seluruh Malaysia.

"Setakat ini, MBSB sudah membiayai sebanyak sembilan projek di negeri lain termasuk Melaka, Selangor dan Pahang," katanya selepas majlis penyerahan kunci rumah kepada 1,536 pembeli PPA1M Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Penyerahan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Kin Kong berkata, sokongan dan komitmen seumpama itu (pembiayaan MBSB) adalah salah satu faktor kejayaan PPA1M.

"Syarikat pemaju projek memerlukan sokongan kewangan untuk merealisasikan hasrat kerajaan dalam menyediakan rumah mampu milik," katanya.

PPA1M Bukit Jalil menyediakan pelbagai kemudahan termasuk laluan berbumbung sepanjang 400 meter menghubungkan unit kediaman terus ke stesen LRT Bukit Jalil.

Turut ditawarkan kemudahan lain seperti klinik, kiosk, surau, tadika, pusat asuhan kanak-kanak, taman permainan dan dewan serba guna yang boleh memuatkan sehingga 600 orang.

Atas inisiatif pemaju hartanah, Aset Kayamas juga menyediakan peruntukan sebanyak RM80,000 bagi pakej ubah suai rumah kepada 10 pemilik unit rumah PPA1M Bukit Jalil yang bertuah.

Pembeli juga mendapat rebat RM100 dan pengecualian caj penyelenggaraan selama sebulan kepada semua pembeli.

Harga jualan yang ditetapkan untuk PPA1M antara RM150,000 hingga RM300,000 mengikut keluasan lantai minimum tidak kurang 1,000 kaki persegi hingga 1,434 kaki persegi berbanding nilai pasaran yang mencecah RM500,000 seunit.

http://asetkayamas.com/about-us/

388 dibaca
Berita Harian X