Jumaat, 19 Januari 2018 | 3:10pm
KETUA Pegawai Eksekutif Sunway Iskandar, Gerard Soosay (dua dari kanan) bersama Duta Jenama Jaya Grocer, Datuk Fazley Yaakob (empat dari kiri) menyempurnakan gimik perasmian prapelancaran Jaya Grocer di Iskandar Puteri, hari ini. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Sunway Citrine Hub nadi Lakeview Precint

ISKANDAR PUTERI: Sunway Citrine Hub akan menjadi nadi kepada Lakeview Precint bagi memacu kelestarian dan perbandaran yang berpaksikan perkhidmatan kepada komuniti.

Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Iskandar, Gerard Soosay, berkata hab berkeluasan 6,596.12 meter persegi itu mempunyai sebanyak 51 kedai runcit, selain 167 pejabat yang secara keseluruhannya menjadi pusat bagi menjalankan pelbagai kegiatan untuk masyarakat kawasan itu.

Katanya, di samping pusat peruncitan, pembangunan bersepadu itu juga membabitkan pejabat dan kediaman eksklusif berhampiran dengan taman Emerald Lake yang berkeluasan 8.09 hektar.

"Ia direka bertujuan menjadi sebuah mercu tanda yang mampan dan mesra alam kerana Sunway Citrine Hub meliputi pencahayaan dan pengudaraan semula jadi, selain sistem penuaian air hujan dan inisiatif hijau yang menepati hala tuju pembangunan bersepadu ini.

"Sebanyak 167 unit pejabat Citrine Design membabitkan keluasan sehingga 606.86 meter persegi sudah 100 peratus terjual, manakala Citrine Residences meliputi 328 unit di keluasan sehingga 465.73 meter persegi sudah siap sepenuhnya untuk diduduki.

"Pembangunan di Sunway Iskandar ini dilengkapi kawalan keselamatan, kemudahan awam, pusat pendidikan serta pengangkutan awam bagi kegunaan komuniti setempat," katanya dalam kenyataan selepas majlis prapelancaran Jaya Grocer di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengasas Jaya Grocer, Teng Yew Huat dan Duta Jenama Jaya Grocer, Datuk Fazley Yaakob.

Pada majlis itu, Gerard berkata, pihaknya menyambut baik usaha pasar raya berkenaan bagi memperluaskan segmen perniagaan di tempat strategik, iaitu di Sunway Iskandar, selain mengharapkan penawaran premium di pasar raya itu dapat menggembirakan komuniti di sekitarnya.

Sementara itu, Fazley berkata, pihaknya teruja menjadi sebahagian dari masyarakat di Sunway Iskandar, selain Jaya Grocer itu turut menawarkan barang premium dan makanan import termasuk dari Amerika Syarikat, Eropah dan Australia.

Katanya, penduduk di situ juga boleh mendapatkan pelbagai produk organik dan makanan bebas gluten.

Pasar raya Jaya Grocer membuka outlet pertamanya di Johor membabitkan keluasan 1,858.06 meter persegi di Sunway Iskandar, Citrine Hub, di sini.

Pembukaan itu menjadikan keseluruhan sebanyak 23 cawangan beroperasi di seluruh negara.

242 dibaca
Berita Harian X