Khamis, 7 Disember 2017 | 7:57pm
RUMAH Lestari D3 Sime Darby Property yang membawa ciri keistimewaan hasil adaptasi konsep rumah kampung bagi pembinaan kediaman mampu milik Rumah Selangorku (RSK) di Elmina West, Shah Alam. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
RUMAH Lestari D3 Sime Darby Property yang membawa ciri keistimewaan hasil adaptasi konsep rumah kampung bagi pembinaan kediaman mampu milik Rumah Selangorku (RSK) di Elmina West, Shah Alam. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
RUMAH Lestari D3 Sime Darby Property yang membawa ciri keistimewaan hasil adaptasi konsep rumah kampung bagi pembinaan kediaman mampu milik Rumah Selangorku (RSK) di Elmina West, Shah Alam. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Konsep rumah kampung dalam bandar

SHAH ALAM: Sime Darby Property Bhd menawarkan kediaman berkonsep rumah kampung dalam bandar menerusi Rumah Lestari 3D.

Pengurus Besar Pembangunan Hartanah dan Inovasi, Chung Chai Yin, berkata rumah berkenaan akan ditawarkan menerusi Skim Rumah Selangorku.

"Konsep untuk Harmoni 1 @ Bandar Elmina yang akan dilancarkan pada suku tahun pertama 2018 berbeza berbanding projek untuk skim itu sebelum ini.

"Ia berikutan projek berkenaan akan berkonsepkan Reka Bentuk Rumah Mencapah atau Divergent Dwelling Design (D3) yang turut mendapat kerjasama daripada Institut Penyelidikan Pembinaan Malaysia (CREAM).

"Konsep D3 adalah inovasi dalam sistem pembinaan kediaman mampu milik merangkumi penggunaan teknologi dan reka bentuk yang dipertingkatkan secara holistik," katanya ditemui ketika sesi lawatan rumah contoh D3 di Bandar Elmina, di sini, hari ini.

Turut hadir pada sesi lawatan itu adalah Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Pembangunan Sime Darby Property, Raymond Chong.

Chai Yin berkata, konsep rumah kampung yang dimaksudkan adalah setiap unit rumah mempunyai tiga balkoni yang menyerupai anjung selain terdapat pintu gelangsar yang akan memisahkan ruang tamu dan dapur.

"Dapur berada bersebelahan balkoni iaitu ruang yang terbuka, jadi penghuni tidak lagi perlu risau jika bau masakan memenuhi ruang rumah kerana pengudaraan rumah sangat bagus dengan adanya tiga balkoni berkenaan," katanya.

Beliau berkata, projek rintis yang menggunakan sistem D3 di bandar Elmina itu turut membawakan suasana kediaman sebenar dilengkapi tiga bilik tidur, dua tandas, ruang istirehat, anjung, dan dapur dibina menggunakan sistem bangunan berindustri (IBS) serta tandas pasang siap yang dijamin kualitinya.

Rumah berkenaan turut boleh diubahsuai mengikut kehendak pelanggan yang mungkin mahukan dua bilik tidur dan ruang tamu yang luas dengan hanya membuang dinding pemisah tanpa perlu memecahkannya.

"Projek Harmoni 1 mempunyai 562 unit kediaman merangkumi tiga blok pangsapuri dengan saiz antara 83.6 meter persegi hingga 92.9 meter persegi dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM155 juta.

"Harga bagi kediaman 83.6 meter persegi adalah RM200,000 setiap unit dengan jumlah keseluruhan sebanyak 98 unit manakala bagi 92.9 meter persegi (RM270,000) 464 unit bakal dibina," katanya.

Mereka yang berminat boleh melayari laman sesawang Sime Darby Property mengenai cara permohonan atau boleh terus ke Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) bagi permohonan Rumah Selangorku.

816 dibaca
Berita Harian X