Ahad, 27 Ogos 2017 | 3:09pm
DATUK Seri FD Iskandar. - Foto Eizairi Shamsudin

Tambah peruntukan Skim MyDeposit - REHDA

KUALA LUMPUR: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) berharap kerajaan meningkatkan peruntukan Skim MyDeposit dalam Bajet 2018.

Presidennya, Datuk Seri FD Iskandar, berkata skim yang membantu pembayaran deposit untuk pembelian rumah pertama itu amat membantu dalam pemilikan hartanah dan lebih ramai akan mendapat manfaat jika peruntukan ditingkatkan.

Katanya, REHDA ingin mencadangkan pengecualian 100 peratus duti setem untuk tempoh lebih lama dari tarikh akhir yang disebut dalam Bajet 2017, iaitu sehingga Disember 2018.

"Pemanjangan tempoh pembiayaan akhir khusus untuk perumahan PR1MA diperluaskan agar turut merangkumi projek pemaju swasta yang banyak membantu merealisasikan objektif kerajaan menggalakkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian dalam temubual eksklusif bersama Kumpulan Media Prima Bhd di sini, baru-baru ini.

FD Iskandar berkata, REHDA berharap kerajaan dapat membantu mengurangkan kos menjalankan perniagaan dan kos pematuhan yang pelbagai dalam Bajet 2018 supaya harga rumah dapat diturunkan atau sekurang-kurangnya dikekalkan.

Beliau berkata, pihaknya ingin mengesyorkan kerajaan untuk memberi lebih insentif kepada pengguna, terutama yang ingin membeli rumah pertama mereka.

"Kami berharap pemilikan perumahan oleh rakyat dapat dipermudahkan dengan memberi akses pembiayaan yang lebih mudah kepada bakal pembeli.

"Antara cadangan kami ialah pengeluaran dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membayar deposit 10 peratus terus kepada pemaju, tanpa perlu menggunakan simpanan peribadi pembeli terlebih dulu," katanya.

FD Iskandar berkata, REHDA berharap Bank Negara Malaysia dapat memberi kelonggaran pemberian pinjaman kepada pembeli hartanah khususnya pembeli rumah pertama bagi hartanah di bawah RM500,000.

Beliau juga berharap, kerajaan memberikan kelepasan cukai dan rebat kepada pemaju hartanah yang menggunakan sistem binaan berindustri (IBS).

Katanya, sasaran kerajaan untuk peserta industri menggunakan IBS menjelang 2020 mungkin tidak tercapai memandangkan peserta industri belum bersedia sepenuhnya untuk berbuat demikian dalam tempoh yang ditetapkan.

"REHDA menyokong IBS tetapi untuk menjadi IBS satu realiti, kita perlu realistik dengan meletakkan sasaran lima tahun lagi bagi IBS dilaksanakan sepenuhnya," katanya.

1489 dibaca
Berita Harian X