Jumaat, 11 Ogos 2017 | 8:44pm
MENTERI Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tan Sri Noh Omar (dua dari kiri) merasmikan Karnival Perumahan Mampu Milik (KPMM) di Shah Alam Convention Centre (SACC) hari ini. Turut hadir Pengerusi Jawatan MAPEX 2017 Datuk Ng Seing Liong (kiri). - Foto BERNAMA

Konsep PPR akan dipertimbang untuk M40

SHAH ALAM: Konsep seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR) akan dipertimbangkan kepada golongan M40 dalam usaha menangani isu pemilikan rumah dalam kalangan kumpulan berpendapatan pertengahan.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar, berkata kementeriannya sedang merangka satu kertas cadangan bagi pelaksanaan itu untuk membantu kumpulan sasar.

"Ia tidak seperti yang ditawarkan kepada golongan B40. Jika bagi B40, harga rumah adalah hampir RM180,000 kita hanya jual kepada mereka RM35,000.

"Mungkin kepada golongan M40 kita akan pertimbangkan subsidi harga rumah tetapi ia tidak akan sebanyak yang ditawarkan seperti PPR.

"Contohnya, jika harga pasaran rumah RM700,000, subsidi yang ditawarkan kepada mereka antara 10 peratus hingga 20 peratus," katanya selepas merasmikan Karnival Perumahan Mampu Milik (KPMM) - Ekspo Hartanah dan Perumahan Malaysia (MAPEX) 2017 di sini.

Hadir sama, Timbalan Menteri KPKT, Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Seri FD Iskandar.

KPMM-MAPEX 2017 yang diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam bermula semalam berakhir Ahad ini, menawarkan pelbagai hartanah menarik dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM1 bilion.

Noh berkata, kertas cadangan sedang diusahakan kementeriannya dan sebaik siap ia akan dikemukakan kepada kerajaan untuk pertimbangan.

"Bila kita rancang, ia juga perlu mendapatkan kebenaran daripada kementerian lain dan agensi yang berkaitan," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga meminta anak syarikat (GLC) yang ditubuhkan kerajaan negeri memainkan peranan untuk membangunkan lebih banyak rumah mampu milik untuk kepentingan rakyat di negeri masing-masing.

"Selalunya mereka (syarikat) memperoleh tanah kerajaan negeri dengan secara percuma atau menerusi bayaran yang nominal.

"Jadi, ia akan jadi lebih mudah untuk membina lebih banyak rumah mampu milik pada harga lebih murah sebagai manfaat kepada rakyat," katanya.

Sementara itu, FD Iskandar berkata, pihaknya berharap supaya kerajaan negeri turut memainkan peranan dalam memperbanyakkan pembangunan rumah kos rendah bagi membantu menangani isu pemilikan rumah.

"Pemaju terutama swasta turut berdepan dengan kos menjalankan perniagaan yang semakin meningkat selain terbeban dengan pelbagai bentuk peraturan.

"Justeru, pembinaan rumah kos rendah tidak seharusnya diserahkan sepenuhnya kepada pemaju," katanya.

INFO:

- M40 adalah golongan berpendapatan sederhana dengan pendapatan isi rumah antara RM3,860 hingga RM8,319. B40 golongan berpendapatan rendah (bawah RM3,860)

- KPMM-MAPEX 2017 membabitkan penyertaan 31 pemaju swasta dan 14 agensi kerajaan.

- Lebih 70 peratus hartanah yang ditawarkan berharga bawah RM500,000.

239 dibaca
Berita Harian X