Jumaat, 14 Julai 2017 | 1:05pm

SPNB akan siapkan 50,000 unit lagi kediaman mampu milik


DATUK Ahmad Azizi Ali (dua dari kiri) bertukar dokumen perjanjian persefahaman (MOU) SPNB - Ajiya Berhad dengan Pengarah Urusan Ajiya Berhad, Datuk Chan Wah Kiang (dua dari kanan) di Wisma Perkeso, Kuala Lumpur. Turut hadir (dari kiri) Ahli Lembaga Pengarah SPNB, Datuk Seri Ahmad Kabit, Pengerusi SPNB Mesra Sdn Bhd merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Kerjasama Ajiya, Datuk Mohamed Hasnan Che Hussin, Pengerusi Ajiya Bhd, Datuk Dr Mohd Aminuddin Mohd Rouse dan Pengarah Ajiya Bhd, Datuk Theng Book. - Foto /Fariz Iswadi Ismail

KUALA LUMPUR: Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB), syarikat milik Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc), akan menyiapkan sekitar 50,000 unit kediaman mampu milik sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Ahmad Azizi Ali, berkata SPNB yang diberi mandat oleh Kerajaan pada PRU lalu untuk membina 100,000 unit kediaman sehingga PRU14 akan datang, sudah membina 36,000 unit kediaman, manakala sekitar 14,000 unit lagi sedang dalam pembinaan.

"Ini bermakna kira-kira 50,000 unit akan dibina sehingga PRU14," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara SPRM dan Ajiya Bhd di sini sebentar tadi.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Pengarah Urusan Ajiya, Datuk Chan Wah Kiang.

Ahmad Azizi berkata, SPNB membina tiga jenis kediaman iaitu Aspirasi Rakyat, Idaman Rakyat dan Mesra Rakyat yang dijual pada harga tidak melebihi RM300,000 seunit.

Berhubung MoU yang dimeterai dengan Ajiya, beliau berkata ia adalah bagi melaksanakan Ajiya Green Integrated Building Solutions (AGlBS) untuk pembangunan projek perumahan di bawah Kumpulan SPNB.

AGIBS adalah Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang dipaten menyediakan industri pembinaan dengan penyelesaian pembinaan bersepadu dan mapan bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja, memendekkan tempoh pembinaan dan mengurangkan kos operasi.

"Pelaksanaan sistem IBS dalam projek SPNB akan meningkatkan penyerahan produk kepada pelanggan, meningkatkan persekitaran yang lebih mapan dan pembangunan produk yang berkualiti," katanya.

Ditanya bilakah penyelesaian AGIBS akan diguna pakai SPNB, beliau berkata ia di peringkat akhir rundingan dan akan diguna pakai dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, Wah Kiang berkata AGIBS meliputi antara empat hingga lapan siri komponen kediaman.

Ia terdiri daripada bingkai dinding logam ringan, bumbung togam dan sengkuap, rangka bumbung logam ringan, pintu logam dan bingkai tingkap, dek lantai struktur logam, siling logam logam, pelindung matahari dan kaca keselamatan serta Sash.

Beliau berkata, menerusi pelaksanaan AGIBS, tempoh pembinaan dan penyerahan akan dapat dikurangkan berbanding tempoh pembinaan kediaman secara konvensional.

"Pembinaan konvensional adalah pada kadar purata 24 bulan, tetapi bagi AGIBS hanya mengambil masa selama lapan bulan", katanya.

217 dibaca
Berita Harian X