Khamis, 13 Julai 2017 | 9:47pm

Anak syarikat Sunway beli tanah RM165j

KUALA LUMPUR: Sunway Innopark Sdn Bhd, anak syarikat Sunway Bhd (Sunway) bercadang membeli tanah pegangan bebas seluas 1.8 hektar di Kuala Lumpur dengan harga RM165 juta bagi tujuan pembangunan kediaman dan komersial.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata ia memeterai Perjanjian Jual dan Beli (SPA) dengan LGT Sdn Bhd (pemilik berdaftar) dan Tan Sri Lim Kok Thay, Puan Sri Lim (Nee Lee) Kim Hua, Yarraville Sdn Bhd, Dandenong Sdn Bhd, dan Ripponlea Sdn Bhd bagi tujuan itu.

Sunway berkata pembelian itu akan dibiayai menerusi pinjaman dan dana sendiri.

Katanya, syarikat berkenaan membayar RM3.3 juta daripada RM16.5 juta deposit kepada pemilik berdaftar sebelum meterai SPA itu, baki akan dibayar selepasnya.

Sementara itu, baki RM148.5 juta akan dibayar kepada peguam cara vendor dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh SPA, kata kumpulan itu.

Sunway berkata tanah itu terletak strategik di pusat bandar Kuala Lumpur, hanya tiga kilometer daripada kawasan beli-belah Bukit Bintang, hab pengangkutan KL Sentral dan Perdana Botanical Gardens.

"Cadangan pembelian tanah itu akan menambah 1.8 hektar tanah utama pegangan bebas di Kuala Lumpur kepada simpanan tanah Sunway, dan menyediakan prospek baik kepada pendapatan masa depan kumpulan," kata syarikat itu.

Kumpulan itu berkata cadangan pembangunan itu membabitkan pangsapuri perkhidmatan dan unit runcit, akan mempunyai nilai pembangunan kasar kira-kira RM1.1 bilion, dan ia dijangka dilancarkan pada separuh pertama 2018 serta siap dalam tempoh lima tahun.

BERNAMA

Berita Harian X