Ahad, 9 Julai 2017 | 8:04pm

Veritas tawar kerjasama projek hartanah di UK


Prinsipal dan Pengarah Kumpulan Veritas Design, Azif Md Nasaruddin. - Foto NSTP/Khairull Azry Bidin

KUALA LUMPUR: Syarikat pemaju hartanah, perunding dan seni bina perlu merebut peluang memperluaskan rangkaian pasaran mereka di luar negara terutama pasaran United Kingdom (UK).

Prinsipal dan Pengarah Kumpulan Veritas Design, Azif Md Nasaruddin, berkata banyak peluang projek berkaitan hartanah boleh diceburi di luar negara, sekali gus membantu mereka mengembangkan perniagaan.

Azif berkata, pihaknya baru membuka cawangan di UK dan bekerjasama dengan perunding tempatan bagi membawa masuk syarikat Malaysia ke pasaran hartanah negara terbabit.

"Objektif kami adalah untuk mengembangkan perniagaan dan belajar mengenai pasaran baharu di sana kerana kita menuju ke arah dunia tanpa sempadan yang membolehkan pasaran dikembangkan ke mana saja.

"Syarikat Malaysia mempunyai daya saing dan kemampuan lebih berbanding negara lain terutama syarikat berkaitan hartanah di Eropah kerana tidak mempunyai keupayaan mengurus projek berskala besar.

"Bagi mereka, projek perumahan gergasi seperti yang banyak kita jalankan di sini adalah sesuatu yang di luar kemampuan," katanya dalam satu temubual baru-baru ini.

Bagi membuka peluang perluasan pasaran hartanah, Azif berkata, pihaknya menjalin kerjasama dengan perunding hartanah ternama UK, Peter Stocker, bagi memberikan akses kepada kerjasama dua hala.

Walaupun secara dasarnya ia berkaitan dengan hartanah, beliau berkata kekangan yang selalu dihadapi syarikat Malaysia adalah dari segi dokumentasi dan peraturan pembinaan di negara terbabit.

"Memang syarikat Malaysia boleh terus menjalankan perniagaan di sana tetapi masalah sebegini sering kali memberikan impak kepada urus niaga yang dijalankan.

"Lantaran itu, kami tawarkan jalan mudah kepada mereka kerana kami mempunyai jalinan kerjasama yang mantap bagi memudahkan urusan dan projek yang bakal dijalankan kelak.

"Pasaran hartanah di UK sangat besar dan mempunyai potensi tinggi bagi syarikat berkaitan hartanah Malaysia," katanya.

56 dibaca
Berita Harian X