Jumaat, 9 Jun 2017 | 2:44pm

I-Berhad lancar kediaman Hill10 Residence

SHAH ALAM: Pemaju hartanah terkemuka, I-Berhad melancarkan projek kediaman terbaharunya, Hill10 Residence di I-City, Shah Alam, Selangor.

Projek dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM124 juta itu menawarkan 200 unit suite pangsapuri yang dilengkapi dengan ciri teknologi Internet untuk Segalanya (IoT).

Ia terletak di atas blok bangunan yang sama dengan hotel DoubleTree by Hilton (DoubleTree) dan unit untuk suite pangsapuri itu bermula dari aras 22 hingga 43.

Timbalan Pengerusi I-Berhad, Datuk Eu Hong Chew berkata pihaknya yakin projek Hill10 akan mendapat sambutan baik daripada pembeli berdasarkan kepada maklum balas yang diterima pihaknya sebelum ini.

"Projek ini disifatkan sebagai unik kerana ia digelar sebagai kediaman IoT. Ia mempunyai infrastruktur sambungan terakhir, gentian ke rumah, jalur lebar berkelajuan tinggi, rangkaian rumah serta kelengkapan sistem rumah pintar.

"Kami percaya kediaman IoT di i-City adalah satu contoh apa yang akan berlaku kepada industri perumahan di negara ini dan kami meramalkan bahawa dalam tempoh 10 tahun, ia akan menjadi ciri standard pada semua pembangunan perumahan," katanya pada majlis pelancaran Hill10 di sini, hari ini.

Projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2020 dan harga permulaan untuk unit kediaman itu adalah serendah RM500,000.

Sementara itu, Eu berkata pihaknya juga turut merancang untuk membangunkan pusat perubatan dan pendidikan di dalam pembangunan bandar i-City.

"Kami melihat sumbangan i-City bukan saja dari segi menukar profil asal tetapi juga dari aspek aktiviti ekonomi baru yang akan kami bawa ke bahagian Greater Kuala Lumpur (Greater KL)

"Sebagai contoh, satu lagi aktiviti ekonomi baru yang telah dipelopori i-Citu adalah membawa rangkaian hotel antarabangsa ke bahagian Greater KL.

"Pada masa ini, Best Western i-City sudah beroperasi lebih dari dua tahun dan dan DoubleTree akan dibuka pada tahun 2020 serta perancangan untuk membina hotel bertaraf lima bintang pada masa akan datang," katanya.

INFO:

*i-City menjadi MSC Cybercentre pertama di Shah Alam pada tahun 2008

116 dibaca
Berita Harian X