Rabu, 9 Mei 2018 | 6:29am
Mercedes-AMG C 43 dan GLC 43 tampil dengan rekaan progresif.

Model CKD Mercedes-AMG C 43, GLC 43

Dengan komitmen untuk memperkenalkan lebih banyak model pemasangan tempatan (CKD), Mercedes-Benz Malaysia meneruskan hasratnya menerusi pelancaran Mercedes-AMG 43 dan GLC 43 untuk pasaran tempatan.

Mercedes-AMG C 43 dan GLC 43, masing-masing ditawarkan pada harga bermula RM408,888 dan RM468,888.

Naib Presiden Pemasaran dan Jualan Kenderaan Penumpangnya, Mark Raine, berkata pengenalan dua model CKD itu menjadikan Mercedes-Benz Malaysia sebagai pengeluar pertama model kereta prestasi mewah di Malaysia.

"Dengan pengenalan model sedan berprestasi tinggi dan kenderaan utiliti sukan (SUV) Sport, kami mengembangkan rangkaian kenderaan yang di pasang di kilang di Pekan, Pahang sekali gus menambah model SUV premium iaitu GLC dan sedan elegen," katanya pada majlis pelancaran dua model Mercedes-AMG di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), di Sepang baru-baru ini.

Mercedes-AMG C 43 dan GLC 43 tampil dengan rekaan progresif sporty yang bakal menarik perhatian peminat kereta mewah berprestasi tinggi.

"Walaupun ia CKD, ia masih mengekalkan prestasi, kuasa dan penampilan sama dengan model import sepenuhnya (CBU)," katanya.

Enjin 3.0 liter V6

Mercedes-AMG C 43 dan GLC 43 4MATIC ditawarkan dengan enjin 3.0 liter V6 turbo berkembar yang menghasilkan 367 kuasa kuda (hp) dan tork 520Nm selain dikuasakan dengan transmisi 9-kelajuan AMG-tuned 9G-TRONIC.

Dengan jentera yang sama, perbezaan prestasi antara Mercedes-AMG C 43 dan GLC 43 masing-masing adalah pelepasan emisi iaitu 183-178 gram bagi setiap kilometer (g/km) dan 199-189 g/km serta pecutan 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) iaitu 4.7 dan 4.9 saat, sementara penggunaan bahan api pula ialah 8.0-7.8 liter setiap 100 km (l/100 km) dan 8.7-8.3 l/100km.

Kedua-dua model turut tampil dengan mod transmisi lima AMG DYNAMIC SELECT iaitu 'Eco', 'Comfort', 'Sport', 'Sport Plus' dan 'Individual ' yang menawarkan pemanduan konsisten dan berkuasa.

Dari segi rekaan luaran, Mercedes-AMG C 43 dan GLC 43 ditawarkan dengan pelbagai ciri mewah dan sporty termasuk talaan AMG Line, night package, manakala dalaman pula dengan tempat duduk kulit ARTICO dan upholstery fiber mikro DINAMICA, bumbung suria gelungsur panoramik, karpet lantai dan panel pintu AMG.

Untuk keselesaan dan sistem bantuan, kedua-dua model itu hadir dengan pelbagai fungsi menarik termasuk kawalan klimaks automatik THERMOTRONIC, kamera 360 darjah, akses bebas tangan, kawalan cruise dan Parking Pilot.

Bagi siri model Mercedes-AMG 43, Mercedes-Benz Services Malaysia menawarkan pakej Performance Agility Care dengan bayaran bulanan RM4,088.

Info: Mercedes

  • Harga RM408,888 - Mercedes-AMG C 43
  • Harga RM468,888 - Mercedes-AMG GLC 43
  • Enjin 3.0L V6 turbo berkembar
  • 367 hp
  • Tork 520Nm
  • Pecutan maksimum 250 km/j.
396 dibaca
Berita Harian X