;
Rabu, 9 Mei 2018 | 6:12am
George (kiri) bertukar dokumen MOU bersama Daniel Choo (kanan) pada Malaysia Autoshow 2018, baru-baru ini. - Foto Syarafiq Abd Samad

Naza Kia lantik MBf Automobile pengedar sah

Naza Kia Malaysia (Naza Kia), pengedar sah kenderaan KIA di Malaysia, memeterai perjanjian bersama MBf Automobile Sdn Bhd untuk melantik syarikat berkenaan sebagai rangkaian pengedar Naza Kia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Automotif, Naza Corporation Holdings, Datuk Samson Anand George, berkata pelantikan pengedar itu melambangkan hala tuju Naza Kia ke arah mencapai kecemerlangan jenama dan meningkatkan jangkauan jenama Kia di negara ini.

Katanya, sebagai pengedar baharu, MBf Automobile jangka untuk melabur RM6.5 juta untuk membangunkan dua cawangan Kia.

"Bilik Pameran 3S Kia City Concept Store Experiential pertama di Malaysia akan dibangunkan di Menara MBf dengan jumlah pelaburan RM5 juta, di Jalan Sultan Ismail menjelang pertengahan 2019.

"MBf Automobile juga akan mengambil alih pengurusan cawangan Kia di Jalan Maarof, Bangsar dan melabur RM1.5 juta untuk menjadikan ia sebagai Kedai Konsep Kia yang akan mula beroperasi pada suku ketiga 2018," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani perjanjian itu bersama Pengurus Besar Kumpulan MBf Automobile, Daniel Choo, di Malaysia Autoshow 2018, di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di Sedang, baru-baru ini.

Lebih banyak pelaburan

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya bercadang untuk memperuntukkan lebih banyak pelaburan bagi menambah cawangan baharu sekali gus menawarkan lebih banyak kemudahan kepada pelanggan.

"Naza Kia kini mempunyai 51 cawangan jualan dan pusat perkhidmatan di negara. Kami bercadang untuk menambah lima lagi cawangan baharu tahun ini.

"Kami berbesar hati atas sokongan pihak pengedar sejak beberapa tahun lalu dan mengalu-alukan MBf Automobile kepada rangkaian pengedar kami. Perjanjian ini sekali gus memberi keyakinan terhadap pembangunan jenama KIA di Malaysia," katanya.

158 dibaca
Berita Harian X