Sabtu, 5 Mei 2018 | 7:00am
MOHAMAD Syazwan (kiri) memenangi percutian ke Austria bagi menyambut Festival Worthersee GTI ke-37.

Cuti ke Austria rezeki peminat Golf GTI

REZEKI bagi peminat Golf GTI, Mohamad Syazwan Mohamad Naim, 26, apabila beliau baru-baru ini memenangi hadiah utama pertandingan Worthersee GTI iaitu percutian ke Austria bagi menyambut Festival Worthersee GTI ke-37.

Menurut Pengarah Urusan Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM), Erik Winter, pertandingan itu dianjurkan selama tujuh hari bermula 20 Mac hingga 27 Mac lalu dan pihaknya menerima jumlah penyertaan seramai 1,500 orang.

"Untuk menyertai pertandingan itu, peserta perlu mendaftar dan melengkapkan slogan serta menjawab 10 soalan dengan catatan masa terpantas. Hanya tiga peserta terpantas layak untuk bertanding pada pusingan akhir.

"Pada pusingan Grand Finale, Mohamad Syazwan berjaya memenangi pertandingan itu selepas mengalahkan dua lagi peserta di hadapan sejumlah penonton ketika Jelajah Volkswagen di pusat beli-belah One Utama," katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Rai peminat GTI tempatan

Beliau berkata, pertandingan Worthersee GTI dianjurkan bagi menyatukan dan meraikan peminat GTI di negara ini.

"Kami amat berbesar hati untuk menyampaikan peluang sekali seumur hidup ini kepada Syazwan yang memenangi pertandingan itu baru-baru ini.

"Festival GTI dianjurkan setiap Mei di Tasik Worth atau Worthersee. Pada mulanya, ia dianjurkan bagi mengumpul pemilik Volkswagen GTI, namun kini ia diubah menjadi majlis menghimpunkan kereta Volkswagen yang diubah suai, klasik dan vintaj serta menarik lebih 100,000 peminat di seluruh negara," katanya.

Pertandingan Wothersee GTI VPCM dianjurkan sempena pelancaran Golf di Malaysia yang mana empat varian diperkenalkan.

INFO

- Festival Worthersee GTI di Austria

- Dianjurkan untuk kali ke-37

- Festival berlangsung setiap Mei

129 dibaca
Berita Harian X