Khamis, 3 Mei 2018 | 4:04pm
DR Claus Weidner (kiri) bersama Naib Presiden Pemasaran dan Jualan Kenderaan Penumpang MBM, Mark Raine memperkenalkan kereta konsep EQ Mercedes-Benz di ibu negara hari ini. NSTP/MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN

Mercedes-Benz dedah kereta konsep EQ

KUALA LUMPUR: Mercedes-Benz hari ini memperkenalkan kereta konsep EQ (Electric Intelligence) untuk memberi gambaran hala tuju syarikat automotif berkenaan terhadap penghasilan rangkaian model kenderaannya pada masa hadapan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz Malaysia (MBM), Dr Claus Weidner, berkata perkenalan kepada kereta konsep itu adalah sebagai permulaan bagi EQ dan pendekatan holistik terhadap masa depan mobiliti, perkhidmatan, teknologi dan inovasi.

"Konsep EQ adalah sebagai pendekatan revolusi kepada ergonomik dalaman, kesalinghubungan, seni bina kenderaan elektrik dan sistem pemanduan.

"Sebagai peneraju pasaran kenderaan premium, kami komited untuk kekal sebagai perintis industri dengan membangunkan landskap mobiliti masa hadapan," katanya pada Pameran Jenama EQ Mercedes-Benz, di sini, hari ini.

Turut hadir, Naib Presiden Pemasaran dan Jualan Kenderaan Penumpang MBM, Mark Raine.

Weidner berkata, menjelang 2022, Mercedes-Benz di peringkat global sasar untuk mempunyai varian elektrik bagi setiap segmen merangkumi dari kereta kompak hingga kenderaan utiliti sukan (SUV).

"Sasaran ini merujuk kepada kereta kereta hibrid dan kenderaan elektrik (EV) sepenuhnya.

"Menjelang 2025, bahagian jualan EV sepenuhnya di peringkat global dijangka merangkumi 15 hingga 25 peratus bagi setiap jualan 10 produk Mercedes-Benz," katanya.

Sebelum ini, MBM melancarkan EQ yang bakal menawarkan ekosistem mobiliti elektrik lebih komprehensif menerusi produk, perkhidmatan, teknologi, dan inovasi.

Model kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV) Mercedes-Benz C 350 e dan E 350 e dilancarkan semula di bawah jenama EQ yang direka dengan ekosistem untuk memberikan nilai terbaik, kemudahan dan kemewahan kepada pelanggan.

195 dibaca
Berita Harian X