Khamis, 3 Mei 2018 | 11:29am
KETUA Eksekutif Tesla, Elon Musk. - Foto REUTERS

Tesla catat kerugian lebih kecil

SAN FRANCISCO: Tesla mencatatkan kerugian yang semakin mengecil berbanding jangkaan pasaran dan berkata ia sedang meningkatkan pengeluaran bagi kereta elektrik Model 3.

Saham syarikat pengeluar kenderaan itu meningkat sekitar lima peratus kepada AS$286.15 (RM1,127.33).

Syarikat itu mencatat kerugian bersih AS$784.6 juta (RM3.09 bilion) daripada pendapatan berjumlah AS$3.4 bilion (RM13.39 bilion) yang diraih pada tiga bulan pertama tahun ini.

Kerugian yang dilaraskan sesaham adalah AS$3.35 (RM13.20), berbanding jangkaan AS$3.42 (RM13.50) daripada pendapatan berjumlah AS$3.32 bilion (RM13.08 bilion).

Firma berpangkalan di California itu berkata, ia melaksanakan 'perkembangan ketara' dalam meningkatkan pengeluaran Model 3 memandangkan ia menjadi kunci kejayaannya dalam pasaran massa.

Sebelum rancangannya menutup pengeluaran bagi memastikan sistem lebih cekap, Tesla menghasilkan 2,270 kenderaan seminggu, iaitu kadar yang lebih rendah berbanding sasaran yang ditetapkan Ketua Eksekutifnya, Elon Musk.

"Kami meneruskan sasaran pengeluaran Model 3 iaitu sekitar 5,000 seminggu dalam tempoh kira-kira dua bulan, walaupun pengalaman sebelum ini menunjukkan kesukaran untuk meramalkan kadar pengeluaran tertentu dengan tepat," kata dalam laporan pendapatan kepada pemegang saham.

Bagi mencapai jumlah pengeluaran Model 3, Tesla akan menutup rangkaian pengeluaran sekali lagi pada suku tahun ini bagi menghasilkan modifikasi, demikian menurut Musk.

Tesla dijangka menutup rangkaian pengeluaran sekitar 10 hari bagi membersihkan 'kesesakan' di sepanjang rantaian pengeluaran.

Jika ia menjadi, Tesla dijangka meraih keuntungan pada separuh kedua tahun ini, kata Musk.

"Ia adalah potensi untuk kita meraih keuntungan," jelas Musk.

- AFP

290 dibaca
Berita Harian X