Selasa, 13 March 2018 | 7:00am
SENTUHAN produk Itali dijual RM27,999 seunit.

Aura scrambler Leoncino 500

BENELLI Malaysia, baru-baru ini mengumumkan model baharu Leoncino 500 bakal memasuki pasaran tempatan dan boleh didapati di semua cawangan cawangan sah Benelli di seluruh negara bermula bulan lalu.

Ia susulan sambutan memberangsangkan di negara ini apabila motosikal jenis scrambler itu menerima lebih 1,000 unit tempahan daripada pelanggan sejak ia mula dilancarkan pada 18 Oktober lalu.

Penghasilan model baharu itu sudah bermula pada Januari dan jumlah unit motosikal terbabit akan ditambah pada bulan ini bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Leoncino 500 menggabungkan tradisi, mitos, semangat dan gaya kontemporari serta inovasi dan prestasi, didedikasikan khas kepada legenda motosikal Itali yang kebanyakannya menyumbang kepada sejarah jenama itu sendiri dan hari ini menemui identitinya sendiri dalam dunia yang serba moden ini.

Leoncino 500 adalah motosikal yang pantas dan padat serta menggunakan rim aloi 17 inci yang mana memindahkan kenikmatan maksimum di atas jalan raya.

Ia didatangkan tayar depan 120/70-ZR17 dan belakang 160/60-ZR17 sekali gus menjaminkan kestabilan dan prestasi terbaik dalam apa jua keadaan.

Gaya kontemporari

Selain itu, ia mempunyai suspensi hadapan berdiameter 45mm dan menggunakan teknologi fork terbalik, dipadankan dengan empat omboh kaliper brek yang mencengkam cakera 320mm.

Leoncino 500 dikuasakan dengan enjin empat lejang dwisilinder, penyejuk cecair, 500cc dan mampu menghambur kuasa 47.6CV (35kW) pada 8,500 rpm dan tork maksimum 45 Nm (4.6kgm).

Ia turut menampilkan sistem pelinciran takungan basah, suntikan elektronik, overhead berkembar serta camshaft yang menggunakan sistem masa, 4 injap pada setiap silinder, klac hidraulik dan kotak gear 6 kelajuan.

Rangka besi jejari yang menjanjikan pergerakan serba boleh pada tahap maksimum.

Di bahagian fender hadapan, dengan bangganya ia memaparkan ikon Singa Pesaro, pada tangki bahan api dan tempat duduk penunggang, semuanya menekankan elemen keperibadian Leoncino yang serba baharu ini. Sistem ABS, peralatan digital dan projektor dengan teknologi LED membuat mesin ini sangat berkualiti tinggi.

Ditawarkan dua warna iaitu Leoncino Red dan Vulcan Black, ia dijual pada harga RM27,999 termasuk GST (tanpa insurans).

INFO
Benelli Leoncino 500

  • Enjin empat lejang, penyejuk cecari, 500cc
  • Prestasi maksimum 47.6 CV (35kW) @ 8500 rpm, tork 45 Nm (4.6kgm)
  • Suspensi hadapan yang berdiameter 45mm, teknologi fork terbalik
  • Dipadankan dengan 4 omboh kaliper brek yang mencengkam cakera 320mm.
  • RM27,999 termasuk GST (tanpa insurans)
508 dibaca
Berita Harian X