;
Jumaat, 2 March 2018 | 6:31pm
REKABENTUK yang mengancam. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal
PAPARAN meter digital. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal
Honda CBR 500R. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal
LAMPU belakang CBR500R. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal
motosikal berkuasa tinggi yang sesuai untuk kegunaan harian. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Honda CBR500R terus kekal mengancam

JIKA anda sedang mencari sebuah motosikal berkuasa tinggi yang sesuai untuk kegunaan harian atau berulang alik ke tempat kerja, model Honda CBR500R mungkin adalah jawapannya.

Dengan harga mampu milik ditambah dengan reka bentuk menawan, model yang mula memasuki pasaran Malaysia pada tahun 2014 ini kini menjadi antara model pilihan ramai.

Model ini adalah antara tiga `adik-beradik' Honda CB500 termasuk CB500F dan CB500X dengan model R ini adalah yang paling sporty berbanding yang lain.

Ia juga mempunyai pengaruh rekaan CBR600 dan CBR1000 pada bahagian depan membabitkan penggunaan penghadang (fairing) penuh. Walaupun reka bentuk begini menjadikan CB500R lebih berat berbanding varian F, kehadiran penghadang angin membantu mengelakkan angin daripada terus terarah ke badan penunggang sekali gus menjadikan jentera ini lebih stabil pada kelajuan tinggi.

Kurang sesuai jalan jauh

Penulis berkesempatan menunggang CBR500R menyertai konvoi ke Pulau Pinang baru-baru ini. Penulis beranggapan model ini tidak berapa sesuai untuk digunakan mengharungi perjalanan jauh.

Ini kerana sepanjang perjalanan sejauh lebih 400 kilometer itu, setiap kali berhenti penulis berasa lenguh dan tidak selesa di bahagian belakang badan.

Pada pendapat penulis, ia lebih sesuai untuk kegunaan jarak dekat atau sederhana seperti yang pernah penulis lakukan dengan berulang alik ke tempat kerja di Bangsar dari rumah di Kajang.

Mudah dikendalikan Jentera ini juga mudah dikendalikan terutama ketika mencelah di antara kenderaan sebaik mula menempuh kesesakan.

Dari segi keselesaan, penulis tidak berdepan masalah kerana CBR500R agak rendah dengan ketinggian tempat duduk 780 milimeter (mm), justeru tidak menjadi halangan buat penulis berketinggian 168 sentimeter (cm) untuk menegakkan motosikal dengan mudah atau ketika berhenti di lampu isyarat.

Menyentuh mengenai reka bentuk CBR500R, ia menjadi tumpuan orang ramai di jalan raya. Ketika penulis penulis berhenti di kawasan rehat dan rawat (R&R) di Serdang baru-baru ini, seorang penunggang memuji reka bentuk model ini yang mengancam dan sedap mata memandang.

Jimat bahan api

Dari segi penggunaan bahan api boleh dikatakan amat menjimatkan apabila menggunakan antara 5.0 liter/100km hingga 5.5liter/100km bergantung kepada cara pemanduan.

Menggunakan enjin selari berkembar 471cc DOHC sejukan cecair, jentera ini kini ditambah baik dengan gerek dan lejang bersaiz 67 mm x 66.8 mm dan telah dipertingkatkan lagi bagi menyalurkan kuasa 37 kW pada 8,500 rpm dan tork maksimum mencapai 44 Nm pada 7,000 rpm.

Ia turut dilengkapi dengan pengunaan LED di kedua-dua lampu hadapan dan lampu belakang manakala dari segi ciri keselamatan, telah dipertingkatkan dengan sistem "wave key".

Ciri-ciri lain termasuk penyerap hentakan depan boleh laras, brek hadapan boleh laras dengan lima titik penyelarasan, serta peredam ekzos sporty. Bagi tahun 2018, Boon Siew Honda memperkenalkan tiga warna pilihan termasuk satu warna baharu iaitu Yellow Lemon Ice diikuti Millenium Red dan Matt Gunpowder Black.

Ia kini boleh didapati pada harga RM31,681 untuk versi standard dan RM35,179 untuk versi ABS.

INFO Honda CBR500R

  • Jenis enjin: 471cc penyejukan cecair, dua silinder selari
  • Gerek dan lejang: 67mm x 66.8mm
  • Nisbah mampatan: 10.7:1
  • Kuasa maksimum: 37 kw @ 8,500 rpm
  • Tork maksimum: 44 kw @ 7,000 rpm
  • Jenis klac: Multi plat basah
  • Transmisi: 6 kelajuan
  • Kapasiti tangki: 16.7 liter
  • Suspensi hadapan: Teleskopik
  • Suspensi belakang: Prolink
  • Jenis brek depan dan belakang: Piring hidraulik

2881 dibaca
Berita Harian X