Ahad, 11 Februari 2018 | 7:00am
PENGAMAL media memulakan sesi tunggang uji di Kuala Lumpur dan berakhir di Pulau Pinang menggunakan motosikal berkuasa tinggi.

RON100 Petron tingkat kuasa kenderaan

SEJAK Petron Malaysia Refining and Marketing Bhd (Petron) melancarkan bahan api Petron Blaze 100 Euro 4M pada 15 Januari 2016, sambutan diterima adalah menggalakkan.

Ia dapat dilihat daripada bermula hanya tujuh stesen minyak yang menawarkan bahan api berprestasi tinggi itu ketika dilancarkan, kini sudah meningkat kepada 71 stesen minyak di seluruh negara.

Baru-baru ini, penulis berpeluang merasai pengalaman menggunakan Petron Blaze 100 Euro 4M apabila dijemput menyertai sesi tunggang uji media anjuran Petron menggunakan bahan api Petron Blaze 100 Euro 4M.

Seramai 15 pengamal media menyertai sesi tunggang uji terbabit menggunakan motosikal berkuasa tinggi masing-masing dengan penulis menunggang Honda CBR500R.

Perjalanan lebih 400km

Perjalanan sejauh lebih 400 kilometer itu bermula dari stesen minyak Petron MRR2 Selayang menuju ke Batu Feringgi, Pulau Pinang diketuai oleh tiga pengiring (marshal) bagi melancarkan perjalanan.

Pelepasan konvoi disempurnakan oleh Pengurus Pemasaran Petron, Danny Chen, pada jam 9 pagi.

Kami berhenti di tiga lokasi untuk mengisi minyak dan berehat. Hentian pertama adalah di kawasan rehat dan rawat (R&R) Tapah, Perak, iaitu kira-kira 150 kilometer daripada lokasi berlepas.

Bagi hentian seterusnya, kami berhenti untuk makan tengah hari di Taiping, Perak dan hentian terakhir adalah di stesen minyak Petron di Sungai Dua, Pulau Pinang untuk mengisi minyak buat kali terakhir sebelum terus bergerak ke destinasi.

Kami selamat tiba ke destinasi pada kira-kira jam 5 petang. Cuaca dalam keadaan baik sepanjang perjalanan dan ternyata ia pengalaman menarik buat penulis yang kali pertama menyertai sesi konvoi beramai-ramai.

Selain itu, ini juga adalah kali pertama penulis merasai pengalaman menggunakan Petron Blaze 100 Euro 4M.

Sejujurnya, penulis tidak merasai perbezaan ketara sepanjang menggunakan bahan api berprestasi tinggi ini kecuali merasakan pergerakan enjin lebih lancar termasuk ketika mahu memecut.

Ini mungkin kerana penulis tidak menggunakan jentera yang lebih berkuasa tinggi menyebabkan kelebihan bahan api ini tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya.


PENGAMAL media berpeluang uji bahan api terbaik.

Tingkat kuasa kenderaan

Menurut Penasihat Perkhidmatan Teknikal Petron, Max Ho, bahan api gred tinggi yang dirumuskan dengan aditif formula Tri-Action mampu meningkatkan prestasi kuasa kenderaan sebanyak 6.3 peratus.

Katanya, mengikut ujian dynamomteter yang dijalankan pihaknya mendapati bahan api itu juga boleh meningkatkan 2.95 peratus penambahan tork.

"Ujian di litar juga dapati RON100 mampu meningkatkan tempoh pecutan sebanyak 3.7 peratus dan kelajuan maksimum sebanyak dua peratus.

"Selain itu, penambahan aditif di dalam RON100 mampu mengurangkan geseran di dalam bahagian enjin kereta selain mampu menjimatkan bahan api sehingga tiga peratus bagi jangka panjang berbanding RON100 yang tiada aditif," katanya.

Ho berkata, bahan api berprestasi tinggi Petron itu juga sememangnya disasarkan kepada kereta atau motosikal berprestasi tinggi, atau menggunakan enjin berprestasi tinggi.

"Jika menggunakan kenderaan biasa, pengguna tidak akan merasai kelebihannya dan akan merasakan sama sahaja dengan menggunakan RON yang lebih rendah," katanya.

Sementara itu, Penasihat Teknikal Perkhidmatan Petron, Alvin See, berkata syarikat itu kini merancang untuk memasarkan minyak pelincir motosikalnya dengan lebih agresif pada tahun ini.

"Kami sedar biarpun sudah agak lama bertapak, namun masih ramai pengguna yang tidak menyedari kehadiran produk pelincir kami ini.

"Justeru, pada tahun ini, kami akan memasarkan produk ini dengan lebih menyeluruh termasuk ke pusat jualan dan bengkel motosikal di seluruh negara," katanya.

INFO

  • 15 pengamal media sertai sesi konvoi ke Pulau Pinang.
  • Konvoi ditaja menggunakan bahan api Petron Blaze 100 Euro 4M.
  • Petron Blaze 100 mampu tingkatkan prestasi kuasa kenderaan sebanyak 6.3 peratus dan meningkatkan 2.95 peratus peningkatan tork.
1319 dibaca
Berita Harian X