Khamis, 8 Februari 2018 | 7:00am
PENGELUARAN edisi khas sempena ulang tahun Land Rover ke-70.

Defender Works V8 terhad 150 unit

SEMPENA ulang tahun Land Rover ke-70 tahun ini, Land Rover UK baru-baru ini 'menghidupkan' semula keluaran Defender, versi edisi khas, terhad kepada 150 unit sahaja yang menggunakan enjin V8.

Dinamakan sebagai Defender Works V8, ia dihasilkan sempena penghargaan kepada model terdahulu seperti Series III Stage 1 V8 pada 1979 dan keluaran seterusnya, termasuk edisi ulang tahun ke-50.

Land Rover paling berkuasa

Menurut kenyataan Land Rover, Defender Works V8 adalah keluaran Land Rover yang paling berkuasa dan terpantas pernah dihasilkan syarikat automotif berkenaan.

Dikuasakan enjin petrol 5.0 liter V8 powertrain, ia mampu menghasilkan kuasa 398 hp pada 6,000 rpm dan 515 Nm tork, penambahan kuasa ketara berbanding Defender standard yang hanya mampu menghasilkan 122 (PS) dan 360 Nm.

Malah ia, mampu mencapai kelajuan maksimum 170 kilometer sejam (km/j) dan pecutan 0 hingga 100 km/j dengan catatan masa 5.6 saat.

Selain itu, kuasanya turut disalurkan menggunakan sistem transmisi automatik lapan kelajuan ZF dengan mod Sport.

Dua model ditawarkan

Ditawarkan dengan dua model 90 dan 110, ia juga dilengkapi lampu utama bi-Led dan kit kawalan (gelung, penyerap dan palang anti-roll) yang dipertingkat serta rim 18 inci eksklusif dengan tayar pelbagai permukaan bersaiz 265/65 R18.

Di bahagian dalaman pula dihiasi balutan kulit Windsor pada papan pemuka, panel pintu dan bumbung serta tempat duduk sport Recaro dan sistem infotainment klasik.

Beberapa penambahbaikan itu juga boleh didapati untuk Land Rover Classic, termasuk kenaikan taraf kuasa untuk enjin diesel TDCI, suspensi berprestasi tinggi dan kit brek.

Sementara itu, Jaguar Land Rover Malaysia turut memperkenalkan edisi khas model Double Cap Defender yang hanya terhad kepada 12 unit didatangkan warna istimewa sempena sambutan ulang tahun berkenaan.

Dikuasakan enjin diesel 2.2 liter dipadankan transmisi manual enam kelajuan, semua unit terbabit didatangkan warna Sicilian Yellow, Motalcino Red dan Baltic Blue.

Ia dijual pada harga RM198,800 (termasuk GST, tanpa insurans).

INFO
Land Rover Defender Works V8

  • Enjin 5.0 liter V8 powertrain
  • Kuasa 398 hp pada 6,000 rpm dan 515 Nm trok
  • Kelajuan maksimum 170 km/j
  • 0-100 km/j - 5.6 saat
  • Harga 150,000 pound Britain di UK

Double Cap Defender

  • Harga RM198,800 (tanpa insurans)
  • Terhad kepada 12 unit
  • Warna: Sicilian Yellow, Motalcino Red dan Baltic Blue
629 dibaca
Berita Harian X