Rabu, 7 Februari 2018 | 7:00am
PENGARAH Urusan Volvo Car Malaysia, Lennart Stegland (kiri) bersama Ketua Pereka Volvo Car China, Ziran Zhang (tengah) dan Pengarah Produk dan Rangkaian Volvo Car Malaysia, Akhtar Sulaiman ketika pelancaran Volvo

Volvo XC60, SUV terbaik

VOLVO Car Malaysia Sdn Bhd memperkenalkan model kenderaan utiliti sukan (SUV) XC60 serba baharu yang dilancarkan untuk pasaran tempatan.

Model generasi kedua ini dibina menggunakan platform Scalable Product Architecture (SPA) baru yang turut digunakan untuk model XC90, S90 dan V90.

Dengan ciri dan rekaan lebih moden serta premium pada bahagian luaran dan dalaman, SUV saiz pertengahan ini tampil dengan model Enjin Berkembar T8 Inscription Plus yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Sweden.

Lebih menarik, model ini ditawarkan dengan ciri Plug-In Hybdrid Vehicles (PHEV) dan enjin 2.0 liter pengecas turbo dan pengecas super.

Ciri luaran baharu kini lebih maskulin seperti Lampu Nyalaan Siang (DRL) berbentuk tukul Thor, bampar hadapan dengan jeriji krom, jarak asas roda lebih panjang, rekaan lebih lebar dan bumbung panorama.

Lima pilihan warna

Bahagian dalaman dengan ciri dan kemasan lebih mewah gabungan kayu dan logam pada papan pemuka dan pintu, skrin sesentuh ketersambungan Sensus bersaiz sembilan inci, sistem bunyi premium daripada Bowers & Wilkins dan tempat duduk balutan kulit larasan elektrik.

Selain itu, ia turut dilengkapi dengan ciri keselamatan terbaik seperti IntelliSafe City Safety dengan brek kecemasan autonomi, Sistem Maklumat Titik Buta (BLIS) dan Amaran Perlanggaran Belakang dan Mitigasi.

Untuk model Volvo XC60 T8 Inscription Plus ini ditawarkan pada harga RM373,888 (atas jalan tanpa insurans) dengan jumlah terhad sekitar 100 unit saja dan hampir sudah terjual kesemuanya.

Versi pemasangan tempatan (CKD) akan diperkenalkan pada suku pertama tahun ini dengan tiga varian ditawarkan iaitu XC60 T5 (tanpa PHEV), T8 Inscription dan T8 Inscription Plus dengan harga jualan daripada RM298,888, RM333,888 dan RM343,888 akan mula dipasarkan April ini.

Lima pilihan warna ditawarkan iaitu Putih Ice, Perak Bright, Kelabu Osmium, Hitam Onyx dan Coklat Maple serta lima tahun jaminan daripada pengeluar.

Info:
Volvo XC60

  • Harga atas jalan tanpa insurans RM373,888
  • Enjin 2.0 liter pengecas turbo dan pengecas super
398 dibaca
Berita Harian X