Ahad, 28 Januari 2018 | 7:00am
AMINAR Rashid (kiri) menerima penarafan 5 bintang ASEAN NCAP untuk Perodua Myvi baharu daripada Pengerusi MIROS, Tan Sri Lee Lam Thye.

Myvi terima penarafan 5 bintang ASEAN NCAP

DISEBALIK reka bentuk menarik dan pemanduan yang lebih selesa berbanding varian sebelumnya, Perodua Myvi baharu yang dilancarkan tahun ini terbukti lebih selamat apabila ia menerima penarafan lima bintang daripada Program Penilaian Kereta Baharu ASEAN (ASEAN NCAP).

Diuji dan dinilai berdasarkan protokol terbaru ASEAN NCAP 2017-2020, Myvi baharu mencatatkan 32.71 mata daripada kemungkinan 36 untuk Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP), iaitu pematuhan 90.9 peratus, dan 43.14 mata daripada 49 untuk Perlindungan Penumpang Kanan-Kanak (COP), mewaikili 88 peratus pematuhan. 

Penarafan bagi semua varian Myvi baharu

 Penarafan keselamatan lima bintang itu termasuk semua varian Myvi baharu, yang dilengkapi empat beg udara, sistem brek antikunci (ABS) dan Pengagihan Kuasa Brek Elektronik (EBD), kawalan kestabilan kenderaan, isyarat berhenti kecemasan, Isofix, sensor mengundur dan peringatan tali pinggang keselamatan untuk semua tempat duduk.

 Bagi varian 1.5L, ia dilengkapi enam beg udara, sistem keselamatan terbaharu PERODUA iaitu Advanced Safety Assist (ASA) yang merangkumi empat ciri iaitu Pre-Collision Warning, Pre-Collision Braking, Front Departure Alert dan Pedal Misoperation Control.

 Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh, berkata Myvi baharu itu adalah kenderaan pertama di Malaysia yang dilengkapi ciri keselamatan tercanggih pada lingkungan harga yang ditawarkan.

"Malah, ia adalah kereta yang paling mampu milik disertakan dengan brek kecemasan autonomi di Malaysia. Dengan Myvi baharu ini, kita memperkenal keselamatan aktif kepada orang ramai," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Jamin keselamatan pemandu, penumpang

Sijil pengiktirafan itu disampaikan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) pada Seminar ASEAN NCAP: Ke Arah Autonomi di Kajang, baru-baru ini.

Aminar berkata, sebagai syarikat `Orang Ramai Diutamakan', Myvi baharu itu adalah usaha terhebat setakat ini dalam menjamin keselamatan pemandu dan penumpang kenderaan berkenaan.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada MIROS dan ASEAN NCAP untuk kerjasama dan bimbingan mereka dalam membantu menjadikan Perodua Myvi baharu kereta lima bintang," katanya.

INFO
ASEAN NCAP

  • 32.71 mata daripada 36 (Perlindungan Penumpang Dewasa)
  • 43.14 mata daripada 49 (Perlindungan Penumpang Kanak-Kanak)
333 dibaca
Berita Harian X